Tuesday, December 15, 2015

Ada apa dengan 'In shaa Allah'

Bibir sering kali mahu mengungkapkan 'in shaa Allah'.

Dengan setiap perancangan, dengan setiap janji, dengan setiap azam, dengan setiap satu perkara yang bakal dilakukan.


*****


"What do you think about a good presentation?"

"The presentation would consist of all the required subtopics we've covered so far plus some additional and critical views that might oppose the theories that we talked about in class. I like what you presented. I really like it."

"Thank you very much."

"Now you have to work hard for your essay."

"I will try my best, in...." (terdiam sekejap)

"I went through your test just now and I thought "Ohh... she didn't get this right. Maybe she didn't know what it meant." But I know you've put a lot of effort to it."

"Hmm I didn't know what to write about for that."

"But other parts are fine I guess. At least that's what I saw."

"In....(terdiam sekali lagi) Yea I hope so."


*****

Sejurus keluar dari bilik pensyarah tersebut, saya terfikir.

Banyak kali bibir mahu sebut 'in shaa Allah', tapi terberhenti!

'In shaa Allah' telah menjadi sangat sinonim dengan hidup ini. Bila bertemu dengan orang di sini juga, saya kadang-kala mahu menyebut 'in shaa Allah'.

Banyak kali terdetik di hati, 'semoga Allah izinkan hal itu untuk berlaku'. Satu perasaan yang sangat mengharapkan belas kasihan Allah untuk memakbulkannya.

Satu bentuk harapan dan pengharapan di sebalik 'in shaa Allah' itu.







Wujud sejarah di sebalik ungkapan 'in shaa Allah'. Sejarah tersebut memaparkan kisah ketika Rasulullah saw ditanya beberapa soalan oleh orang Quraisy yang berniat menganggu misi penyebaran ajaran Islam oleh baginda.

Mereka mempunyai tiga pertanyaan, pertama berkaitan dengan sebuah kisah tentang sekelompok pemuda yang mengasingkan diri daripada kaum mereka, kedua tentang seorang pengembara besar yang mencapai hujung dunia dan yang ketiga berkaitan hakikat roh. Mereka yakin soalan-soalan ini dapat memerangkap baginda.

Rasulullah saw memberitahu mereka yang baginda akan menjawabnya esok hari namun keesokan harinya, malaikat Jibrail tidak muncul dan tiada wahyu diturunkan selama empat belas hari. Rasulullah saw sendiri berasa sedih dengan tuduhan orang Quraisy yang mengatakan baginda berbohong kerana tidak mampu menjawab pertanyaan mereka. Sedang diselubungi keraguan dan kesedihan, baginda menerima wahyu daripada Allah dua minggu kemudian,

"Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti". Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini".
[Al-Kahfi: 23-24]


Tariq Ramadan, dalam bukunya Jejak-jejak Rasulullah pula ada menyebut,

"Beginilah kita harus memahami makna ungkapan in shaa Allah, "Jika Allah mengizinkan.": ia menegaskan kesedaran manusia akan keterbatasannya, perasaan rendah hati seseorang yang hendak berbuat sesuatu dan mengetahui bahawa di atas semua yang dia lakukan dan katakan, Tuhanlah yang memiliki kekuasaan untuk mewujudkannya."


"Dengan izin Allah"


Jika Allah mengizinkan, maka terjadilah perkara itu.

Dan jika Allah tidak mengizinkannya, maka tidak akan terjadilah.

Maka kenapa harus kita bimbang dengan sesuatu perkara, jika kita benar-benar yakin bahawa

"jika Allah izinkan, maka berlakulah"?

Harapan dalam agama ini bukanlah bersifat fatalistik. Kita perlu berusaha, kita berusaha sebaik-baiknya dan pada masa yang sama, menyedari bahawa manusia mempunyai batas dalam kemampuan masing-masing.

Mungkin kadang-kala wujud rasa ingin berputus asa kerana tidak yakin dengan usaha sendiri. Sedangkan semasa berusaha, kita sebenarnya sedang mengumpul pahala atas usaha yang dilakukan. Dan usaha itu sememangnya menuntun pengharapan yang tinggi kepada Allah.

Tawakal.


"Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan."
[Luqman: 22]

Dan hasil yang diperoleh, bukanlah 100% berasal daripada usaha kita. Bukan 100%.


*****


Kisah penghijrahan Rasulullah saw ke Madinah bersama-sama Abu Bakar ra juga mengingatkan saya kepada pengharapan kepada Tuhan, apabila dilanda rasa takut.

Ketika Abu Bakar ra dihambat rasa cemas kerana sekelompok orang Quraisy telah menjejaki mereka di gua tempat persembunyian mereka, Abu Bakar ra menzahirkan rasa cemasnya kepada Rasulullah saw, lalu baginda menenangkannnya dan berbisik kepadanya;


 "Jangan takut, Tuhan bersama kita."
[At-Taubah: 40]

Kemudian baginda menambah lagi,

"Bagaimana fikiranmu jika ada dua (orang) dan yang ketiganya adalah Tuhan?"
[Hadis riwayat Al-Bukhari]

Yang ketiganya adalah Tuhan.

Hanya Tuhan yang memiliki kekuasaan untuk menyelamatkan kita, tatkala hidup di dunia memberi kita ketakutan.

Namun agama masih menawarkan kita harapan.

Tuhan juga yang mengurniakan apa sahaja bentuk rezeki, semestinya yang terbaik untuk kita
.
Terbaik buat kita atas belas kasihan, barakah dan kecukupan-Nya.


*****

Hingga pada suatu saat kamu benar-benar bisa mengatakan,"Aku telah mempercayakan hidupku kepada Allah, aku tahu Dia adalah sebaik-baik penjaga dan sebaik-baiknya dalam menepati janji." 
(Hujan Matahari, karya Kurniawan Gunadi)

Maka mengapa harus kita bimbang lagi?


*****


**Penulis kini sedang memberi motivasi kepada diri sendiri tatkala menempuhi minggu akhir semester. Bakal menghantar beberapa tugasan universiti dan menduduki peperiksaan dalam beberapa hari lagi tetapi minda dan hati tetap mahu menulis buat muhasabah diri!

In Syaa Allah!
(kredit)




1 comment:

  1. Peh sentap. Sbb ckp inshaaAllah tp x berniat nk buat pun.

    ReplyDelete