Sunday, May 10, 2015

Di Sini Adanya Hikmah

Kredit

Di kampung itu tempatnya amat indah dengan udaranya nyaman, angin bertiup menyapa mesra, kesesakan trafik masih terkawal dan paling penting, di sana tempat kita bermula. Ya, kita, anak kampung. Kepada anak kelahiran bandar, maaf, jika kalian tidak merasai keindahan ini. Mungkin boleh dicari jodoh di kampung-kampung sana buat merasa juga pengalaman kami.

Beberapa minggu yang lepas, entah hantu apa merasuk diri ini tiba-tiba sahaja kepingin makan pisang. Sudah lama tidak merasa barangkali. Jika di kampung, buka sahaja pintu belakang rumah, terjulur jantung pisang dengan setandan pisang menguning ranum. Petik dari tandan kopek kulitnya, selesai segala hajat. Namun sayang, aku bukan dikampung, aku sedang di bandar menuntut ilmu. Justeru, senarionya berbeda dan sedikit rumit bahkan duit juga perlu dihulur. Ini bukan kampung, ini bandar naungan kapitalis cekik darah.

Ada satu ketika, dihadiahi kepada kami –sekeluarga- seekor ikan, namanya ikan Empurau, asal Sarawak. Dikatakan ini ikan sungai paling mahal di Malaysia, harganya boleh mencecah ratusan bahkan ribuan ringgit sekilogram. Yang dihadiahi kami ini tidak pasti pula berapa beratnya, tapi cukup berat dan panjangnya kurang lebih setengah depa.

Hikmah 1 : Proses menyiang

Di dalam keluarga ini, anak lelaki yang minat memasak dan minat juga memegang bahan masakan cumanya aku. Justeru, tugas membantu menyiang ikan ini pastinya aku dan tukang siangnya tidak lain, ayahku. Anak kampung sejati Kuala Terengganu yang biasa bermain dengan ikan di laut.

Kami menggunakan dua bilah pisau, satu bersaiz kecil, namun tetap tajam yang muncungnya tirus ke depan dan satu lagi pisau besar yang muncungnya petak empat segi. Pada bahagian ikan yang mencabar seperti di kawasan bawah kepala, pisau yang kecil bermuncung tirus itu digunakan ayahku khasnya ketika membuang insang. Pada bahagian badan yang punyai tulang, digunakan pula pisau besar bermuncung empat segi itu. Bahkan, tidak cukup dengan itu, kayu juga turut kami guna bagi mengetuk bahagian atas pisau bersaiz besar ini supaya ikan ini boleh dipotong.

Fikir aku, anak-anak di dunia ini sama juga dengan hal menyiang ikan ini. Ada sisi lembutnya yang penyiang –si ayah- hanya perlu menggunakan alatan kecil untuk membersihkan dengan membuang insang dan perut serta bahagian dalaman ikan tadi. Ada juga pada anak itu sisi kerasnya yang menyebabkan si penyiang perlu menggunakan alatan yang lebih besar, bahkan perlu kepada alat tambahan seperti kayu tadi.

Cuba bayangkan, jika si penyiang tadi menggunakan pisau besar empat segi di bahagian ikan yang lembut dan sebaliknya juga menggunakan pisau yang bersaiz kecil di bahagian ikan yang agak keras seperti bahagian isi yang disaluti tulang. Pasti, ikan ini akan rosak, isi-isinya akan hancur dan potongannya tidak elok. Tambahan lagi, dalam kes ini, ikan Empurau itu sangat mahal harganya. Bertambah tidak elok lagi jadinya.

Demikianlah ayah kita melayani kerenah anak-anak yang dengan pelbagai ragam mengikut situasi, ada yang perlu berdehem saja sudah faham maksudnya, ada yang perlu diberi pesanan lembut sambil tangan dipegang dan belakang diusap, baru hilang rajuknya. Tapi ada juga ketikanya, perlu ditinggikan suaranya sambil tangan menggenggam kemas rotan disisi baru lekas bangunnya untuk solat.

Hikmah 2 : Membuat tapai

“Orang tua-tua pesan, kalau kita buat tapai, sebelum tapai menjadi sempurna, jangan beritahu jiran-jiran, nanti tapai tidak akan sempurna kalau ditegur atau ditanya oleh jiran kita berkenaan tapai ni, ‘tapai merajuk’ istilah orang tua”. Demikian pesan mak aku yang antara pesanannya aku ingat. Tapai adalah makanan popular khasnya di Terengganu ketika hari raya. Biasanya, tapai ini akan dibuat beberapa hari sebelum hari raya kerana perlu disimpan agar masaknya elok dan rasanya manis. Ramuan asasnya mudah sahaja, beras pulut dan biji ragi dibungkus elok dalam daun getah.

Sekali dengar, pesan orang tua-tua berkenaan tapai ini kedengaran agak mengarut dan tidak masuk akal. Tiadalah kita dapat kaitkan kesedapan rasa tapai kita dengan sapaan jiran kita disebelah rumah. Namun, begitulah kita orang muda, sering kali gopoh mengkritik mentang-mentanglah belajar tinggi dan fasih menutur dan menyanyi dalam Bahasa Inggeris. Segalanya mahu logik dan rasional di akal. Kalau mahu logik dan rasional di akal, usahlah kita makan ayam, kerana ayam itu makanannya macam-macam, ada yang makan cacing, ada yang makan benda kotor. Makan kera lagi baik, kerana kera itu gemar makan pisang.

Penyakit ‘ain

Dikit-dikit kita belajar dan membaca, bertemulah kita dengan kisah Sang Kelembai. Sang Kelembai wujud dalam tradisi Melayu sebagai satu makhluk aneh yang mulutnya berbisa. Segala benda yang ditegurnya, pasti benda itu akan binasa.

Dalam tradisi Islam, hal ini kita namakan penyakit ‘ain atau pandangan mata.
Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasallam) bersabda :

الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَيْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا.

“Penyakit al-‘Ain itu benar. Seandainya ada yang dapat mendahului takdir, tentulah ia didahului oleh penyakit al-‘Ain……”

(Riwayat Imam Muslim, dalam Sahihnya. Kitab “Al-salam”. Bab “penjelasan tentang pengubatan,sakit dan ruqyah”, hadis nombor 4058)

Sabda kekasih kita, Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasallam) lagi:

اَلْعَيْنُ حَقٌ وَيَحْضُرُ بِهَا الشَّيْطَانُ وَحَسَدُ اِبْنِ آدَم.

“Al-‘Ain adalah benar, syaitan dan manusia yang dengki mengganggu kamu dengannya”

(Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, musnad Abu Hurairah, hadis nombor 9631 dengan sanad yang sahih).

Al-‘ain adalah satu penyakit melalui pandangan mata yang disertai dengan perasaan dengki, takjub dan kagum terhadap seseorang atau sesuatu benda.Penyakit ini boleh datang dari seorang yang jahat atau boleh juga datang dari seorang yang baik. Hal ini sukar untuk diterang secara rasional namun setahu aku, mungkin istilah dan subjek yang paling hampir untuk kita sebut adalah kuasa Telepati. Telepati mungkin adalah istilah atau subjek moden yang mungkin boleh menjadi asas untuk difahami oleh golongan muda yang mementingkan rasional dan sains.

Ketika zaman baginda Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasallam), seorang sahabat yang namanya Sahl Bin Hunaif (radiya allahu 'anhu) pernah terkena penyakit ini. Sahl Bin Hunaif seorang sahabat yang kacak dan punyai kulit yang sangat putih dan elok persis anak dara sunti kacukan rumpun Melayu dan Belanda dari Danau Maninjau,Indonesia. Ketika dia sedang mandi, seorang sahabat yang lain, namanya Amir Bin Rabi’ah (radiya allahu 'anhu) lalu di kawasan itu dan ternampak putihnya kulit Sahl Bin Hunaif. Lantas, Amir Bin Rabi’ab berasa kagum dan memuji kecantikan kulit Sahl Bin Hunaif. Lantas, Sahl Bin Hunaif jatuh ke tanah dan terus pengsan.

(Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, Zadul Ma’ad, jilid 4 halaman 174-175, Pustaka Al-Kautsar)

Demikian contoh penangan penyakit ‘ain yang pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasallam) rentetan dari kekaguman Amir Bin Rabi’ah terhadap keelokan Sahl Bin Hunaif. Sebilangan dari kita mungkin menolak hal ini bahkan tidak percaya pun. Tiada dapat dikaitkan penangan pandangan mata seseorang dengan diri seseorang yang lain.

Dalam kehidupan seharian kita, hal ini berlegar juga sebenarnya. Pernah juga kita dengar ada kenalan kita yang demam beberapa hari apabila melihat ular tedung merenungnya tajam dari jauh. Ada juga di kalangan kita yang mukanya pucat lesi dan lutut terketar-ketar melihat renungan tajam guru disiplin disekolah. Kita juga dapat melihat wajah rakan kita yang kemerah-merahan dan angau apabila direnung oleh gadis paling cantik dalam kelas dulu. Semua ini terkait soal ‘ain (pandangan mata) dan berpunca dari ruh (jiwa) kita.

Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah (rahimahullah) mengulas panjang soal penyakit ‘ain ini dalam kitabnya yang terkenal, Zadul Ma’ad. Bahkan Imam Ibn Qayyim juga menempelak golongan yang tidak mempercayai kewujudan penyakit ini, kata Imam Ibn Qayyim,

“Segolongan orang yang pendengaran dan akal mereka kurang, tidak mempercayai perihal pandangan mata ini. Mereka mengatakan bahwa hal ini hanya omong kosong dan tidak benar. Orang semacam ini adalah orang yang paling bodoh pendengaran dan akal mereka. Dan juga orang yang tertutup oleh tabir yang sangat tebal, dan tidak mengetahui perihal ruh dan jiwa, baik sifat-sifatnya, aksinya, mahupun pengaruhnya”

(Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, Zadul Ma’ad, jilid 4 halaman 175, Pustaka Al-Kautsar)

Penyelesaian daripada terkena penyakit ‘ain ini adalah pujian kepada Tuhan Jalla Wa ala ketika memuji ciptaannya. Semisalnya apabila bertemu bayi yang comel, ternampak hal-hal yang mengkagumkan dan seumpamanya, sebutkanlah “Barakallah” (semoga Allah memberkati) atau “Masyaallah la quwwata ila billah” (sungguh atas kehendak Allah semua ini wujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah), atau bentuk puji-pujian yang lain.

Jangan sesekali memuji sesuatu hal atau seseorang tanpa menyebut nama Tuhan, bimbang kita terkena penyakit ‘ain ini.Pujian perlu dibalikkan pada Tuhan yang mencipta keindahan dan kecantikan. Seakan alam dan ruh ini cemburu terhadap pujian yang tidak menyebut nama Tuhan yang maha agung.

Begitulah praktis orang Melayu terhadap tapai membawa kita menyelusuri penyakit ‘ain yang diajar dalam Islam dan mungkin dalam istilah sains moden, telepati adalah subjek yang paling hampir untuk memahami hal ini.


Inilah rupa tapai (gambar penulis sendiri)

Hidup mengutip hikmah! 

Demikianlah hikmah yang dapat kita kutip di dapur rumah dan di kampung. Kadang kala puas kita membelek kitab tebal mencari hikmah menggunung, tetapi hikmah didepan mata yang mengalir bagaikan air jernih sering kali kita lupa. Sungguh, hikmah itu banyak sekali terselit di dapur rumah, dibalik pinggan-pinggan tersusun di atas rak, di balik mata pisau yang menghiris, di laman rumah yang mungkin sudah tertanam. Dan yang paling berharga, apabila hikmah ini dapat dikutip bersama ibu dan ayah di rumah sana.

Di kampung sana, bersama orang tua-tua, kita bercerita soal kelapa yang semakin berkurang, bertanya khabar soal lutut yang sering sakit-sakit, tangan yang sering kebas dan mengadu soal kucing yang mencuri ikan di bawah saji. Semuanya berkenaan kisah-kisah kecil yang tenang dan mendamaikan. Disinilah, lubuk hikmah yang sering kita alpa.


-Khairul Shaffei-

Penulis hanyalah penulis jemputan di blog Team Esspresso ini, justeru segala lontaran idea melalui artikel-artikel penulis tinggal menjadi pendapat peribadi sahaja, tiadalah mewakili penulis-penulis tetap yang lain.