Friday, September 5, 2014

Hijab Itu Iman


                                                                Kredit

Saya kira sekarang para muslimin dan muslimat terutamanya sedang hangat membicarakan musik video terbaru hasil kreatif Mr The All Shared (MTAS) dan Hamasah as-Syabab (HAS) yang bertajuk ‘Hijab Makes You Beautiful’. 
Sebelum projek itu bermula pun sudah ramai yang memperkatakan mengenainya dan saya sendiri mengikuti perkembangan mereka secara senyap dan jauh.
Okay, bunyi macam pro-stalker.
Saya sendiri tidak ketinggalan menonton musik video tersebut malah saya merupakan salah seorang penanti setia MTAS sehingga sanggup tatap depan telefon pintar saya semata-mata ingin menjadi penonton pertama musik video tersebut

Poyonya ayat Senpai. 

Okay,
kalau bukan yang pertama pun saya antara yang menonton video mereka.
MTAS juga telah mengeluarkan lirik lagu tersebut untuk dibaca, ditelaah, dikaji, dan dianalisa seperti karya sastera bahasa Inggeris. 
Pada mulanya saya hanya membaca untuk suka-suka sahaja tetapi setelah berpuluh kali menonton video mereka yang telah saya muat turun secara tak berapa nak halal daripada TiubAnda, saya amat menggemari rangkap yang mengandungi bait-bait ini

Everyone else with imaan can see it, 
Everyone else but you.

Banyak lagi sebenarnya mesej yang MTAS cuba sampaikan melalui musik video tersebut tetapi entah kenapa saya agak tertarik dengan rangkap diatas. 
Mungkin kerana lenggok suara akh-akh yang begitu merdu dan mengasyikkan (melampaunya hiperbola) atau mungkin kerana bait tersebut mengingatkan saya kepada satu hadis Rasulullah saw diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra yang lebih kurang berbunyi sebegini. 

Wanita itu dinikahi kerana empat hal; 
kerana hartanya, kerana keturunannya, 
kerana kecantikkannya, dan kerana agamanya. 
Maka pilihlah kerana agamanya, 
nescaya kamu akan beruntung. 
(Hadis riwayat Bukhari) 

Tudiaa Senpai keluaq hadis pasai kawen!

Ya, hadis itu adalah anjuran pemilihan gadis untuk dinikahi, yakni kerana agamanya tetapi bukan niat saya untuk memperbesarkan point nikah itu.
Saya ingin menekankan point beragama itu.
Harus diingat bahawa tiga kriteria yang lain itu sama pentingnya tetapi haruslah agama menjadi kriteria pertama.
Berapa banyak harus daa.
Bak kata seorang penulis yang saya tidak ingat nama tetapi saya ingat kata-katanya,
“Agama itu yang paling utama. Andai ada dua calon, seorang beragama tetapi tidak cantik dan seorang lagi cantik tetapi agamanya kurang, pilihlah yang beragama. Tetapi andai ada calon yang agamanya secantik paras rupanya, maka itu lebih baik.”

Hijab pada pemahaman kebanyakan orang awam ialah menutup atau terselindung, danianya dikaitkan secara popular dengan aurat wanita.
Juga popular dalam kalangan penggemar filem tak-berapa-nak-seram tempatan yang berkongsi tajuk yang sama, cuma tambah ‘Al’ di hadapan.
Tak kiralah anda nak definisikan hijab itu bagaimana, asalkan kita berada pada muka surat yang sama (baca: on the same page).
Kewajipan untuk ber-hijab ini sebenarnya telah digariskan dalam Al-Qur’an yang diturunkan pada zaman wanita tidak mempunyai hak langsung dalam masyarakat dan dilihat sebagai objek pemuas nafsu kepada lelaki.

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: 
‘Hendaklah mereka menahan pandangannya, 
dan kemaluannya, dan janganlah mereka 
menampakkan perhiasannya, kecuali yang 
(biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah 
mereka menutupkan kain kudung kedadanya…” 
(Surah An-Nur, 24:31) 

Nampak tak betapa seorang wanita itu sangat berharga dalam Islam?
Saya akui saya cemburu dengan para akhwat sekalian yang begitu menjaga aurat mereka.
Dan disini, saya senaraikan beberapa perkara yang saya kira sangat signifikan tentang mengapa wanita diwajibkan menutup aurat mereka sehingga hanya dibenarkan untuk menampakkan tangan dan muka sahaja (kaki itu kena hijab juga kak) apabila berada dikhalayak ramai.


1. WANITA ITU MAHAL 

Kalau anda pernah pergi ke pameran kereta berjenama (saya pasti ramai yang tak pernah kerana sibuk ber-konferens riang. Kehkeh) atau lebih mudah, ke kedai emas, anda akan dapati bahawa aset-aset ini begitu dijaga rapi oleh pihak penganjur mahupun pengurus kedai.
Tengok kereta Lamborghini Elemento yang hanya dikeluarkan sebanyak dua tiga kerat sahaja pun rasa tak layak sebab tidak mampu untuk membelinya, untuk menyentuhnya apatah lagi kerana takut tercalar atau tercemar kesucian kereta tersebut.
Fuh, dahsyat
Emas-emas di kedai di-hijab dalam kabinet kaca bukan?
Dan apabila ada orang yang serius untuk membelinya baru mereka akan mengeluarkannya bukan? Begitu juga dengan wanita Islam!
Mereka sangat mahal dan eksklusif, hanya mereka yang benar-benar serius untuk menikahi mereka sahaja yang boleh melihat mereka dan bukannya untuk tatapan umum! 

Mohon jangan naikkan harga hantaran semata-mata kerana saya kata anda mahal. Plis


2. DARJAT WANITA DIANGKAT 

Seperti yang saya tulis diatas tadi, wanita pada zaman Rasulullah sangat rendah tarafnya. 
Seorang wanita itu hanya dipandang sebagai objek pemuas nafsu orang Arab Jahiliyyah dan hak mereka disekat.
Namun setelah Islam datang, wanita-wanita ini diangkat darjatnya sehingga mereka tidak lagi di bawah strata hierarki masyarakat, tetapi setaraf dengan para pria ketika itu.
Hatta semasa zaman pemerintahan Abbasiyah di Kordova, wanita diberi hak untuk mendapat pendidikan, sesuatu yang pihak Barat beri kepada wanita mereka beberapa ratus tahun kemudian!
Juga andai anda sendiri terlihat seorang ukhti yang begitu sempurna hijabnya, apa reaksi anda?
Sudah pasti anda akan secara automatiknya menundukkan pandangan sehingga terlanggar tiang lampu!
Kerana apa?
Kerana wanita yang berhijab sempurna tidak dipandang melalui paras rupanya, tetapi kerana akhlaknya, kerana tindakannya, kerana kebaikannya sekaligus membenarkan kalimat “Don’t judge a book by its cover”! 

Chewah. Macam takde kaitan je, Senpai. 


3. AGAMA ITU NOMBOR SATU 

Kali ini saya mengajak anda untuk menggunakan logik akal sebentar.
Kawasan Hijaz Arab itu terletak di tengah-tengah padang pasir di garisan Khatulistiwa bukan?
Dan cuaca ketika siang hari sudah tentu panas yang teramat sangat dan malamnya pula sejuk seperti Antartik, bukan?
Secara logiknya, sesorang yang berada di tempat yang cuacanya panas pasti akan mengenakan pakaian yang nipis dan sedikit, bukannya yang tebal dan lebih banyak seperti mana yang dilakukan oleh pakcik, makcik, abang, kakak Salleh ketika musim panas di negara mereka.
Tetapi wanita-wanita Islam menjadi bukti betapa agama itu nombor satu di hati mereka dengan mengenakan hijab yang saya kira panas untuk dipakai dibawah teriknya sinaran matahari!
Di Malaysia sendiri, saya sudah berasa panas dan rimas ketika menggunakan baju lengan panjang tetapi para muslimat seakan-akan biasa dengan cuaca ini.
Watlek watpis, orang kata.
Tabik hormat untuk mereka kerana menjadi contoh bahawasanya tiada apa yang mampu menghalang orang Islam daripada melaksanakan perintah Allah SWT! 

Hebat

Cukuplah setakat ini.
Walaupun hanya ada tiga, tetapi tiga perkara ini cukup untuk menunjukkan bahawa hijab itu benar-benar melambangkan iman dan iman itu kerana Allah SWT.
Kepada muslimat di luar sana, hijablah dengan sempurna.
Kalau tak nak pakai tudung bawal atau tudung siakap, anda boleh pakai baju besi, asalkan ianya syariah-compliant (kredit kepada Amir Mustaqim untuk idea baju besi sebagai hijab).
Kepada muslimin, anda juga perlu ber-hijab!
Jangan dok tayang bulu kaki anda depan orang ramai!
Tak guna andai muka lawa atau hensem, duit banyak, tetapi agama ke laut. 
Kerana anda, iman membuatkan anda sempurna. 



-Senpai-

*Tak pandai menulis tapi ingin nak jadi penulis. Hamba Tuhan yang mencari redha-Nya. Suka
kopi.*

Untuk link musik video Hijab Makes You Beautiful, klik sini: Hijab Makes You Beautiful

No comments:

Post a Comment