Monday, October 20, 2014

Buya HAMKA : Kaum Tua VS Kaum Muda (Wahabi)

credits to blog.digishelf.co.id
Isu pertarungan antara ‘Kaum Muda’ (wahabi) dan ‘Kaum Tua’ di Nusantara (Kepulauan Melayu-Indonesia) ini sudah lama tercetus.
Kalau di Kelantan, mungkin kita kategorikan isu ini sebagai isu zaman ‘Jaafar Tonggek’.
Satu sifat deskriptif yang mahu memberi simbol betapa telah lama berlalu sesuatu perkara itu.
Secara peribadi, saya agak muak dan mual untuk membicarakan soal ini kerana isu ini tidak akan ke mana.
Akhirnya, paling jauh dan ekstrim isu ini akan pergi pada tahap ‘aku dan guru aku sahaja yang betul, kau dan guru kau sesat dan masuk neraka’. Fuhh!!!

Saya bukan berniat mahu menimbulkan sengketa apabila memilih isu ini buat ditulis, tapi saya sekadar tertarik dengan precedent lama permikiran orang Melayu ini yang terus berulang dan berulang sehingga hari ini.


‘Kaum Tua’ dan ‘Kaum Muda’(Wahabi)

Jargon ‘Kaum Muda’ dan ‘Kaum Tua’ ini muncul bertitik tolak daripada sengitnya pertarungan antara mereka,
kesengitan ini menyebabkan masyarakat terbelah menjadi dua, sama ada mereka menyebelahi kaum tua atau muda.
Tidak ada kawasan kelabu sebagai garis pemisah antara dua regim yang sedang bersaing ini.
Kalau adapun kawasan kelabu ini, ia wajib diketepi kerana kewujudan kawasan kelabu dalam beragama hanyalah sebuah manifestasi keraguan dan tidak kuatnya iman.

Kaum Muda adalah gerakan intellektual avant garde yang menentang batas norma faham conservative masyarakat.
Sementara kaum tua pula adalah satu kumpulan yang pasif yang menyambung warisan lama, dalam kasus ini, warisan lama itu bisa kita ekspresikan dalam amalan beragama.


Wahabi..Wahabi…Wahabi…

Secara ilmiah, Wahabi adalah satu gerakan yang dipelopori oleh Sheikh Muhammad Bin Abdul Wahab At-Tamimi di Najd yang menentang segala kesyirikan dan bidaah yang dibuat oleh masyarakat pada zamannya.
Hal ini tidak dapat dinafikan oleh kawan dan lawan.
Cuma, di pihak lawan atau mungkin juga di pihak kawan yang adil, ada yang berpendapat gerakan ini terlalu ekstrim sehingga perkara yang dianggap khilafiyyah pun dilabel sebagai bidaah lalu dihapuskan oleh gerakan ini. Wallahua’lam.

Pun begitu, kita semua wajib mengetahui bahawa Wahabi ini bukanlah satu mazhab fiqh atau mazhab aqidah yang baru,
Kerana Sheikh Muhamad Bin Abdul Wahab sendiri di dalam Fiqh, beliau bermazhab Hambali dan di dalam Aqidah, beliau bermazhab salaf yakni tidak menta’wil ayat-ayat sifat.

Di Malaysia, perkataan atau label Wahabi ini mampu memberi konotasi yang buruk dan begitu ramai para ilmuan kita di label dengan gelar ini.
Masyarakat yang tidak diberi faham amat takut dan allergic dengan label ini sehingga Pak Mat di hujung kampung Kodiang sana cukup melatah dengan ‘ustaz-ustaz Wahabi’.
Hang jangan duk pi la kuliah ustaz tu, dia tu Wahabi, nanti sesat hang dunia akhirat’,
Ngomel Pak Mat melarang anak muda sambil melipat rokok daun buat peneman mencerca ‘ustaz-ustaz Wahabi’.

Kenapa Wahabi ni teruk dan memberi konotasi yang buruk?
Apa itu Wahabi sebenarnya?
Untuk dua soalan ini, Buya HAMKA ada jawapan tuntasnya.

Kata Buya HAMKA :

“Dituduhlah kami kaum Wahabi. Siapa Wahabi? Ialah pengikut ajaran Muhammad Abdul Wahab al-Najdi yang hidup pada kurun ke-12 hijrah al-mustafa (kelapan belas kurun miladiyah).
Dari mana dia mengambil pelajarannya? Dari karangan Ibnu Taimiyah dan Ibn Qayyim dan mazhab mereka ialah Hambali. Oleh sebab itu, mereka bermazhab Ahlu Sunah Wal Jamaah juga. 
Mengapa nama Wahabi itu sangat dicela dan dibenci orang? 
Sebab mereka berontak melawan pemerintah pergi melawan pemerintahan Turki Othmani yang berates tahun menjajah tanah Arab, maka kerana Turki amat benci kepada kaum yang telah memulai membuka mata bangsa Arab ini……. 
Sebab-sebab yang diambil alasan buat mencela kaum Wahabi adalah kerana mereka sangat menentang pemujaan kepada kubur yang telah dipandang orang sebagaimana orang musyrikin menyembah berhala. Buku-buku mencela Wahabi itu tersebarlah di negeri kita sehingga kata Wahabi dipandang sebagai kata penghinaan“

(Rujuk : Prof Dr HAMKA, Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor, m/s 74-75, terbitan Pustaka Dini)

Maka realiti di Malaysia hari ini, sesiapa sahaja yang berlainan dari segi amalan agama akan dituduh sebagai Wahabi.
Tak Qunut Subuh? Wahabi.
Tak berdoa beramai-ramai selepas solat fardhu? Wahabi.
Menaqalkan kata-kata Sheikh Al-Albani? Wahabi.
Tak membaca surah yaasin pada malam jumaat? Wahabi.
Membaca basmalah secara sirr di permulaan surah Al-Fatihah? Wahabi.
Makan di Restoran Jepun? Wahabi…. choyy!! Bukan, itu WASABI.

Jika ingin mengetahui lanjut tentang amalan-amalan Wahabi, boleh membaca blog Zamihan Mat Zin Al-Ghari.
Di blog dia, ramai yang telah disenaraikan sebagai Wahabi. Kahkahkah.
Untuk rekod, Dr Azwira Abdul Aziz (Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia) telah menulis satu buku menjawab tohmahan Zamihan Mat Zin Al-Ghari terhadap beberapa isu berkaitan Wahabi.
Buku itu bertajuk ‘Pegangan Ahli Sunnah Dan Pendustaan Zamihan Terhadap Ulama Mereka’




Semoga Allah memberi kekuatan kepada Dr Azwira dan semoga Allah memberi hidayah kepada Zamihan Mat Zin Al-Ghari dan memasukkan kedua-duanya kedalam golongan hamba yang jujur dan ikhlas dalam beragama. (dan kepada kita semua juga).


‘Kaum tua’ & ‘Kaum Muda’ (Wahabi) : Dari sisi gerakan intelektualism

Ketika hayat Buya HAMKA, beliau dan ayah beliau (Haji Rasul) telah ditohmah dan dituduh sebagai Wahabi kerana Buya HAMKA dan ayahnya mempunyai pegangan hukum yang berbeza pada sesetengah sudut hukum.
Cukup kita memahami itu sahaja sebabnya mereka digelar wahabi atau kaum muda.
Mereka berbeza bahkan mereka mengambil pandangan yang sedikit berbeza dengan amalan masyarakat setempat dalam sesetengah hukum.
Pelbagai tohmahan diterima oleh Buya HAMKA dan ayahnya.
Menariknya, tohmahan ini diberikan oleh golongan yang bergelar ulama juga, iaitu kaum tua.
Para ulama kaum tua di tanah Melayu sangat takut apabila Haji Rasul, iaitu ayah kepada Buya HAMKA datang ke tanah Melayu, bimbang mereka kalau-kalau permikiran Haji Rasul diserapi oleh masyarakat di Tanah Melayu.

Kata Haji Rasul ketika melihat gelagat ulama Kaum Tua yang bimbang akan permikirannya itu,

“Takut benar ulama-ulama disana pada waktu itu, bahwa Mazhab Syafi’i akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera, atau Muhammadiyah di Jawa”

(Prof. Dr HAMKA, Ayahku, m/s 115 Terbitan UMMINDA).
Di Tanah Melayu dan Indonesia pada ketika itu, masyarakat setempat kuat berpegang kepada mazhab Syafie dari segi pengamalan fikih mereka.
Dan takut benar mereka jika terkeluar daripada pendapat-pendapat Imam Syafie dan Imam-imam di dalam Mazhab Syafie.
Manakala kaum Muda pula mengambil pendekatan yang berbeza, iaitu ilmu itu tidak terkumpul pada satu mazhab sahaja, bahkan perlu adanya perbandingan antara pendapat imam-imam dikalangan mazhab-mazhab yang lain juga.
Demikian bermulanya gerakan intelektual antara Kaum Tua dan Kaum Muda.

Kata HAMKA,

“ Yang tua setia kepada matan Kitab Ulama Syafi’iyah. Yang muda berani memakai pikirannya sendiri dan ijtihadnya dan berani pula memperbandingkan dengan pendapat ulama lain di luar mazhab Syafi’i” 
(Prof. Dr HAMKA, Ayahku, m/s 107 Terbitan UMMINDA)


Di dalam sepak terajang dunia ilmu, walaupun penulis masih bertatih dan kerap kali jatuh dalam tatihan itu, namun kita diajar untuk membuat perbandingan diantara pendapat-pendapat sarjana.
Kita berguru dan bertanya serta menganalisa.
Lalu kita membuat kesimpulan dengan kadar ilmu yang dirujuk dan dimiliki.
Ini sebahagian konsep dalam pertarungan intelektual.
Tetapi, di pihak Kaum Tua, hal ini tidak bisa dan ngak usah dilakukan, karna kita ini bukan siapa-siapa.
Kata Buya HAMKA lagi,

“Kaum tua berfikir dengan dasar ‘jangan’ dan kami berfikir dengan dasar ‘silakan’. 
Kata Kaum tua,’janganlah kamu berijtihad kalau tidak cukup padamu ilmu Al-Quran dengan ayat mujmal dan muqayyadnya, ijmal dan tafsil, am dan khas, nasikh dan mansukh, asbabul nuzul, al-hadis dan As-sunnah, qaulun nabi, wafa’alihu wataqrir. Dan matan hadis dan sunah hadis. Dan jarh dan ta’dil dan al-mutawatir dan al-ahad dan sahih dan hasan dan dhaif. Dan ilmu nahu dan syaraf. Dan manthiq dan ma’ani dan adabul-lughat dan,dan,dan, - tetapi mereka tidak belajar! 
Dan kaum muda berkata, ‘Pelajarilah olehmu segala ilmu yang tersebut itu supaya boleh kamu berijtihad’ 
(Prof. Dr HAMKA, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m/s 64 Terbitan Pustaka Dini)


Fitnah ditabur

Dalam sejarah ketamadunan Melayu. Fitnah adalah satu senjata ampuh untuk menewaskan lawannya setelah kehabisan hujah dan ilmu.
Sorot saja sejarah Mahsuri dan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, pasti saja kita temui senjata mujarab ini digunakan.
Lalu, ketika berlaku pergelutan fikir antara Kaum Tua dan Kaum Muda ini, senjata sama digunakan, iaitu fitnah.
Kaum Tua telah didakwa menfitnah Kaum Muda.

Kata Buya HAMKA,

“Memang, apabila orang yang telah kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat islam….” 
(Prof. Dr HAMKA, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m/s 76 Terbitan Pustaka Dini)

Mufti Johor pada ketika itu, Sheikh Sayyid Alwi Bin Tahir Al-Hadad (Rahimahullah) telah melakukan fitnah –menurut Buya HAMKA- terhadap kaum Muda.
Menurut mufti Johor itu, faham Kaum Mudalah yang menyebabkan Agama Islam di Turki jatuh dan kerana faham Kaum Mudalah, dakyah Kristian dan Komunisme berjaya di Indonesia.

Kesimpulannya, Samahah Al-Mufti ingin mengatakan Kaum muda ini satu kaum yang merbahaya.
Maka, diatas tanggungjawab menjawab fitnah ini, Buya HAMKA telah menulis satu surat yang diberi judul ‘Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor’.
Semoga Tuhan mengampuni kesilapan Samahah Al-Mufti, kerana sebagai generasi muda yang tidak hidup pada zaman itu, kita tidak secara pasti mengetahui latar keadaan pada ketika itu,
namun kita yakin, jasa dan sumbangan Samahah Al-Mufti lebih besar berbanding kesilapannya yang kecil itu.
Semoga Tuhan mengampuni kita semua.

Apabila kita membaca keseluruhan surat itu, kita dapati, kemarahan Samahah Al-Mufti berpunca daripada fikir Kaum Muda yang sentiasa menyoal setiap fatwa yang diberikan oleh Kaum Tua.
Kaum Muda tidak mahu menerima bulat-bulat hukum halal, haram, makruh atau sunat.
Tetapi mereka mahukan alasan, kenapa halal, kenapa haram, kenapa makruh dan kenapa sunat.
Jika alasan tidak kukuh, maka Kaum Muda tidak menerima fatwa tersebut.
Ini sahaja puncanya!
Seperti anak muda hari ini, kita mahukan alasan daripada setiap hukum yang dikeluarkan, 
kita mahu dibentangkan dalil-dalil daripada Quran dan sunnah.
Walaupun mungkin kita tidak faham, tetapi itu cukup untuk menyakinkan bahawa fatwa itu kuat dan benar.

Kata Buya HAMKA,

“Mufti telah berfatwa hendaklah kitab-kitab kaum muda dibakar, tidak ada yang mahu membakar mungkin satu waktu datang fatwa pula: dilarang anak belajar ke Mesir dan ke Indonesia. 
Tutup Kolej Islam! Suruh pulang guru-guru dari Mesir itu. 
Sebab semuanya membuka mata orang Melayu dan mengajarnya pintar, 
mengajarnya bertanya ‘apa sebab?’. 
Mufti lebih senang kalau umat Melayu seperti dahulu saja, membaca kitab ‘perukunan’ atau kitab ‘Abu Masyarfalki’. 
Lebih baiklah umat Melayu tinggal bodoh, supaya dia tetap Islam. 
Iaitu Islam menurut patuh akan fatwa samaah al-mufti” 
(HAMKA, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m/s 54 Terbitan Pustaka Dini)


Penulis tidak sanggup lagi untuk menulis berkenaan pergeseran dan jawapan khusus antara Buya HAMKA dan Samahah Al-Mufti Sheikh Sayyid Alwi Al-Hadad.
Tidak mahu penulis membuka hal-hal yang tidak elok dan memberi konotasi yang buruk kepada samahah Al-Mufti.
Seperti yang telah kita sebutkan, jasa dan pengorbanan samahah Al-Mufti melebihi kesilapannya,
dan kita berdoa semoga beliau ditempatkan di syurga Tuhan.
Setiap manusia pasti melakukan kesilapan, tidak ada yang maksum kecuali al-mustafa Nabi s.a.w.


Hormat ulama, jangan memandai!

Di dalam beragama, sering kali orang muda apabila menyoal atau bertanya sebab, mereka akan dimomokkan dengan kata ‘Terima sahajalah, ini fatwa para ulama, kita tidak setaraf dengan mereka’.
Kita diasuh dengan ucap ajaib dan jampi serapah ini sehingga kita pun tertunduk takut.
Sedangkan perkataan-perkataan ini tidak dikenali dan tidak diajar oleh para imam-imam yang besar. Perkataan itu hanya diajar oleh ustaz-ustaz di surau yang kehabisan hujah.
Para imam-imam kita mengajar kita supaya memahami hujah dan mengikut dalil, bukan mengikut secara mengkhinzir buta tanpa mengetahui hujah, alasan dan dalil pada setiap hukum dalam agama ini.

Kata Al-Imam As-Syafi’i (r.a) yang kita sanjung dan cintai,

 “Perumpaan orang yang menuntut ilmu pengetahuan tanpa didasarkan kepada hujjah laksana orang yang mencari kayu bakar di malam hari, dimana dia membawa ikatan kayu bakar yang di dalamnya ada ular yang berbisa yang akan mematuknya, dan dia tidak mengetahuinya” 
(Rujuk : Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, I’lamul Muwaqi’in, Edisi Terjemahan Indonesia dengan judul ‘Panduan Hukum Islam’, m/s 343 jilid 2, terbitan Pustaka Azzam)



Kata Al-Imam Ahmad Ibn Hambal (r.a)

“Janganlah kamu mengikutiku dan jangan mengikuti (Imam) Malik, (Imam) Ats-Tsauri, dan (Imam) Al-Auza’i, dan (tetapi) ambillah dari sumber yang mereka ambil” 
(Ibid, m/s 343-344)


Kemudian, apabila kita bertanya dan bertanya, dituduhlah kita ini biadap dan kurang ajar.
Sedangkan bertanya itu adalah satu proses pembelajaran.
Dan kita ulang, hal ini tidak diajar oleh imam-imam mazhab yang hebat itu, ini hanya perlakuan sombong sesetengah ustaz di kampung sana.

Kata Buya HAMKA,

“Kadang-kadang pula dikatakan kaum muda tidak hormat kepada ulama. 
Padahal yang mereka katakana ulama itu bukanlah Imam Malik atau Imam Syafie, 
tetapi beberapa pegawai kerajaan yang memakai serban dan jubbah. 
Dan beliau pun telah merasakan dirinya ulama kerana pada tangannya sudah ada surat tauliah.” 
(Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m/s 66)


Cukup, cukuplah!

Demikian serba sedikit pergelutan yang berlaku di antara kaum Tua dan Kaum Muda.
Asalnya mudah sahaja, isunya Kaum Tua lebih selesa bertaqlid mengikut pandangan mazhab Syafie di dalam fikih sementara Kaum Muda pula berasa perlu adanya perbandingan pendapat antara Imam-imam Mazhab supaya dapat dicari titik penguat dalam lompokan pandangan-pandangan mereka.
Namun, hal ini menjadi besar apabila adanya tohmahan-tohmahan yang memberi konotasi yang buruk seperti label Wahabi dan perkakas-perkakas fitnah yang ditabur.

Cukuplah kita bergaduh dan berpecah mengenai isu remeh temeh sehingga mengkafir dan menyesatkan antara umat Islam.
Selepas ini, saya menyeru tinggalkanlah ustaz-ustaz yang suka melabel ilmuan lain dengan gelar Wahabi, kerana itu satu sifat keanak-anakan dan bukti kontangnya ilmu didada para ustaz yang suka melabel itu.
Haji Rasul (ayahanda Buya HAMKA), selepas lanjut usianya, beliau lebih menumpukan kearah penyatuan umat Islam dan tidak lagi menghiraukan isu remeh temeh.

“Apatah lagi usia telah lanjut pula, sehingga tidaklah lagi beliau membesar-besarkan urusan yang remeh. 
Tidak lagi bertengkar perkara usalli, talkin atau kenduri di rumah orang kematian (wahsyah), bahkan lebih besar dari itu. 
Kembali dari Mesir, seruan beliau adalah seruan persatuan menghadapi masalah yang lebih besar, membanteras kata-kata ‘Kaum Tua-Kaum Muda’. 
Kalau orang bertanya kepada beliau, kaum apakah beliau, beliau menjawab: 
‘Kaum menuntut kebenaran’ 
(Prof. Dr HAMKA, Ayahku, m/s 165-166, Terbitan UMMINDA)

Akhirnya, kita menyeru kepada pengikut-pengikut Al-Imam Abu Hasan Al-Asy’ari dan pengikut-pengikut Sheikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah untuk menghayati kisah dua orang imam hebat ini.
Ikutilah jejak langkah mereka, jauhilah daripada penyakit kafir-mengkafir dan sesat menyesatkan antara satu dengan yang lain.


“Tatkala ajal Abu Al-Hasan Al-Asy’ari telah dekat dengan kampung halamanku di Baghdad, dia memanggilku, maka aku pun mendatanginya, dia lalu berkata,
'Bersaksilah atasku bahwa aku tidak pernah mengkafirkan seorang pun dari ahli kiblat, karena semuanya menunjuk kepada sesembahan yang satu, dan ini semuanya hanya perbedaan ungkapan (perbezaan istilah)’.

Aku katakan (Imam Az-Zahabi) bahwa aku berpegang dengan hal yang seperti ini. 
Demikian pula guru kami (Ibn Taimiyyah) pada akhir-akhir usianya. 
Dia berkata, ‘aku tidak mengkafirkan seorang pun dari umat ini.’ 
Dia (Ibn Taimiyyah) juga berkata, ‘Nabi s.a.w bersabda, ‘tak ada yang menjaga wudhu kecuali orang mukmin’. Jadi, siapa yang tetap mengerjakan shalat dengan wudhu, bererti dia seorang mukmin’

(Rujuk : Imam Az-Zahabi, Siyar A’lam An-Nubala’, edisi Terjemahan Indonesia dengan judul ‘Ringkasan Siyar A’lam An-Nubala’, m/s 367 jilid 3, Terbitan Pustaka Azzam)

Bersambung untuk siri terakhir….(Insyaallah)

-Khairul Shaffei -


*Penulis adalah penulis jemputan di blog Espresso ini. Maka, segala buah fikir dan lontaran idea pada setiap kata di dalam makalah ini tidak sama sekali mewakili karakter semua penulis-penulis tetap yang lain.Penulis boleh dilawati di laman facebook ‘Khairul Shaffei’.

Sunday, October 5, 2014

Lembu, Kambing, Unta Dah! Kau Nak?


Credit : Are we?
Takbir raya.
Takbir raya.
Takbir raya.

Setiap tahun. Takbir yang sama mencecah ke angkasa dan mengetuk gegendang telinga setiap insan.
Jika insan itu muslim, sudah tentu berasa gembira dan jika not yet muslim, mesti buat taktau.

Itulah lumrah kefahaman dalam kehidupan. Sesiapa yang faham akan respond dan yang tidak, takkan respond.

Simple.

Hari raya merupakan hari yang menyebabkan kanak-kanak tersenyum lebar menampakkan gigi yang rongak. Ini kerana hari tersebut merupakan hari poket kanak-kanak akan bertambah berat disebabkan pemberian sampul pelbagai warna dan corak daripada orang-orang dewasa.

Sampul itu ada duit.
Ouhh, lupa nak mention yang hari raya sebegini adalah hari raya puasa ataupun hari raya Eidul-Fitri.

Actually, ada satu lagi hari raya untuk muslim iaitu eid-al-adha. Nama famous kat Malaysia adalah Hari Raya Haji. Sebab time ni kebanyakan orang pergi haji so, sebab tu panggil Haji.

Hahaha. Merapu.

Di Malaysia, terdapat ibadat korban di setiap masjid. Acara ini diadakan selepas khutbah hari raya haji. Berbondong-bondong lah manusia datang ke masjid untuk menyaksikan peristiwa berdarah ini. Yang jenis takut darah pun menggagahkan diri pergi tengok juga disebabkan ramainya orang berada di tempat kejadian. At least nanti kalau pengsan kaa apa boleh laa orang pakat-pakat tolong.

Sangat meriah.

Parang,pisau belati, pisau rambo,kapak dan lain-lain diasah. Memastikan ianya tajam dan boleh menyembelih "Pejuang-pejuang" seperti seorang ninja versi Malaysia.

"Pejuang-pejuang"?

Sapa tu?

Lupa lagi.
Sorry. Sorry. Dah tua.

"Pejuang-pejuang" tu bukannya manusia tetapi mereka adalah lembu-lembuan,kambing-kambingan, unta-untaan, kerbau-kerbauan dan lain-lain lagi.

Sebab utama mereka digelar pejuang adalah mati mereka di JALAN ALLAH SWT. Jalan manakah yang lebih baik jika dibandingkan dengan jalan tersebut? Diorang mati di jalan ini.

SubhanAllah.
Meskipun mereka hanya haiwan ternakan, mati mereka itu sungguh mulia.
Meraka telah melaksanakan tanggungjawab mereka di bumi ini.
Sudah tentu, syurga menanti.

Sedihnya.

Mereka masuk syurga nan indah itu dan realitinya kita masih bermain-main,berseronok-ronok dan bergelak ketawa di bumi. Memang mereka lagi mulia daripada kita.

Mati mereka di jalan Allah SWT. Bagaimana pula dengan mati kita?

Jalan manakah? Jalan siapakah? Bagaimanakah? Dimanakah?
Kah kah berlaka.

Jika dibandingkan kita dengan "Pejuang-pejuang" pada hari raya haji ini, sudah pasti mereka mendahului kita dalam menggapai syurga.

Adakah kita tertinggal?

Jawapannya tidak!

Allah SWT masih lagi memberi peluang untuk kita bangkit dalam menggapai syurga. Secara zahirnya kita tertinggal tetapi in sha Allah kita mampu juga mati sebagaimana "Pejuang-pejuang" ini mati.

No doubt.

Bercita-citalah untuk mati dalam keadaan mulia. Walaupun hanya bercita-cita tetapi daripada cita-cita itulah terbitnya keyakinan dan kesedaran untuk berubah menjadi baik. Kebanyakan orang sangat sukar untuk menanamkan benih cita-cita ini kerana beranggapan ianya tidak akan subur dan sangat sukar untuk menumbuhkannya. Itulah tanggapan yang bermain-main dalam pemikiran seseorang itu, tanggapan itu seolah-olah mematikan diri sendiri sebelum tibanya waktu kematian yang sebenarnya.

My friends, please.

Orang lain tiada kuasa untuk mengubah anda melainkan anda sendirilah yang perlu memilih sama ada nak ataupun tidak. Orang lain hanya mampu mengajak anda, berbicara berkenaan agama ini dan tuntutan agama ini kepada anda. Mengharapkan sinar hidayah menyinar dalam hati anda dengan izin Tuhan. Sesungguhnya, hidayah itu milik Tuhan.

"Sesungguhnya, engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk."
(Al-Qasas, 28:56)

Oleh itu, fahamilah agama ini di mana saja engkau berada dan berusahalah untuk mencapai redha Allah SWT.

#Tips

-Solat 5 waktu (If possible, jemaah)
-Stick with our Quran.(Read frequently)
-Ajak orang lain buat kebaikan.
-Bermanfaat kepada orang lain.
-Senyum selalu.
-Yakin dengan ketentuan Allah SWT.

Dan, ikut segala sunnah Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan seharian.

In sha Allah.

Kita juga akan menjadi sang pejuang!
Dan mati dalam redha-Nya.

Irhamna Ya Allah.
Amiin.Amiin. Amiin.