Thursday, April 23, 2015

Lambang Salib: Menyoroti Sejarah

Kredit

Tetakkan parang ke dalam sena,
Belah buluh taruhlah temu;
Barang kerja takkan sempurna,
Bila tidak menaruh ilmu.

Keris kecil menikam ular,
Keris besar menikam singa;
Dari kecil tak hendak belajar,
Sudah besar tertanya-tanya.

(Harun Mat Piah, Pantun Melayu : Bingkisan Permata
halaman 16, Yayasan Karyawan Kuala Lumpur)

Ketakutan dan kerisauan kami –bangsa Melayu- terhadap pengaruh luar, khasnya pengaruh kristian itu bukanlah baru. Bahkan telah tertanam dan mengalir melalui pembuluh darah kami turun temurun. Ketakutan ini bukan dibuat-buat atau dipaksa-paksa, memang, ini diwarisi dari moyang kami lagi. Janganlah kalian terkejut atau buat-buat tidak mengerti, mari sini, duduk di depan ini, ku ceritakan satu persatu.

Cuplikan hikayat warisan kita –Bangsa Melayu-

Di dalam Hikayat Abdullah, yang dikarang oleh Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi, atau dikenali dengan Abdullah Munsyi, telah diceritakan bagaimana takut dan bencinya moyang kami terhadap bangsa Inggeris, bimbang benar kerana nanti akan terserap segala anasir-anasir yang bertentangan dengan adat kami.

Diceritakan, Tuan Milne, seorang paderi dari Inggeris telah datang ke Melaka dan ingin mengajar Bahasa Inggeris. Mendengar sahaja hal ini, Abdullah Munsyi telah pergi berjumpa dengan Tuan Milne dan beramah mesra sambil memberitahu hajatnya bahawa dia ingin belajar Bahasa Inggeris. Lantas, Tuan Milne bersetuju dan dalam masa yang sama Tuan Milne juga ingin belajar Bahasa Melayu daripada Abdullah Munsyi.

Diberinya Abdullah Munsyi sebuah kitab yang diterjemahkan dalam Bahasa Melayu buat dibaca dan dibetulkan tatabahasanya jika silap. Apabila dibaca, tidaklah dapat difahami kitab itu kerana susunan ayatnya tidak teratur atau dalam bahasa Terengganu, kita panggil ‘cukang cemaking’.

“Hampirlah kitab itu kubaca. Akan tetapi, hurufnya Melayu dan bunyinya Melayu, tetapi jalan bahasanya itu bukan jalan bahasa Melayu, dan lagi yang bukan-bukan tempat perkataan itu dipakaikannya dan di tempat bukan-bukan hubungannya perkataan itu dihubungkannya”

(Abdullah Munsyi, Hikayat Abdullah, halaman 101-102, Yayasan Karyawan Kuala Lumpur).

Lalu dibawalah kitab itu kepada kawan-kawan yang lain untuk berbincang,

“Hatta, pada keesokan harinya, aku unjukkanlah kepada segala kawan-kawanku yang dekat-dekat di situ. Maka masing-masing pun membaca. Ada yang tidak dapat membaca sekali-kali, ada yang merangkak-rangkak membacakan, akan tetapi seorang pun tiada tau akan ertinya…”

(Abdullah Munsyi, Hikayat Abdullah, halaman 102, Yayasan Karyawan Kuala Lumpur).

Dalam pada tidak memahami itu, timbul satu respon klise moyang kita,

“…masing-masing melarang aku,katanya ‘Jangan baca kitab ini. 
Buangkan, karena ini kitab orang putih. Nanti rosak iman kita.”

(Abdullah Munsyi, Hikayat Abdullah, halaman 101-102, Yayasan Karyawan Kuala Lumpur).

Abdullah Munsyi tidak tinggal diam, lantas menjawab,

“Bagaimana engkau boleh tau ini kitab orang putih? Bukankah ini Bahasa Melayu? Dan bolehkah ia ini merosakkan iman kita? Apakah ertinya iman itu? Adapun ertinya iman itu yang kuketahui, percaya. Maka jikalau kiranya aku membaca seribu kitab agama lain-lain, jikalau tiada percaya aku akan dia, bolehkan rosakkan iman? Aku tiada mau mendengar perkataan bodoh itu”

(Abdullah Munsyi, Hikayat Abdullah, halaman 102, Yayasan Karyawan Kuala Lumpur).

Diskusi : Ajaran Islam

Ketika hayat Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasallam), baginda pernah didatangi oleh 60 orang delegasi yang beragama Kristian dari Najran lantas delegasi ini mengajak Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasallam) berdiskusi berkenaan kedudukan Nabi Isa (alaihissalam). Mereka pergi menemui Nabi (sallallahu alaihi wasallam) di Masjid dan pada ketika itu juga masuk waktu untuk delegasi ini solat. Lantas, mereka solat di dalam masjid Nabi (sallallahu alaihi wasallam) dengan mengadap ke timur. Kata Nabi (sallallahu alaihi wasallam), “ Biarkanlah mereka”.

(Imam Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, m/s 399-400, Jilid 3, Sinar Baru Algensido)

Kemudian, berlakulah diskusi dan perdebatan antara baginda dan delegasi kristian ini dan kemuncaknya setelah masing-masing tidak mahu mengalah, lantas, baginda Nabi memberi cadangan supaya dilafazkan sumpah laknat (mubahalah) bagi sesiapa yang berbohong.
Hal ini terakam di dalam Al-Quran, Surah Ali-Imran, ayat 59-63

Petunjuk Sahabat Nabi

Pada tahun 16 Hijrah, umat Islam telah dianugerahkan Tuhan dengan berita gembira iaitu peristiwa penaklukan Baitul Maqdis –kota suci ke-3 umat Islam selepas Makkah Al-Mukarramah dan Madinah An-Nabawiyyah-. Ketika ini, jawatan Amirul Mukminin –Khalifah- dipegang oleh Saidina Umar Al-Khattab Al-Farouq (radiya allahu 'anhu). Beliau telah bertolak dari Madinah ke Baitul Maqdis atas permintaan penduduk disana selepas bermesyuarat dengan sahabat-sahabat yang lain di Madinah.

Ketika memasuki Baitul Maqdis, Saidina Umar telah bertanya tentang kedudukan batu As-Sakrah, tempat suci bagi kaum Yahudi. Selepas dikenal pasti tempat ini, Saidina Umar dapati tempat ini telah dijadikan tempat pembuangan sampah oleh kaum Kristian bagi membalas perbuatan kaum Yahudi yang mengotori juga tempat suci kaum Kristian, iaitu gereja Al-Qamamah. Lalu, Saidina Umar membersihkan tempat ini –yang dijadikan tenpat pembuangan sampah- dengan bajunya sendiri.

(Imam Ibn Kathir, Al-Bidayah Wan Nihayah, m/s 226-229, Terbitan Darul Haq)

Ketika penaklukan ini juga kita semua tahu –atau buat-buat tak tahu- tentang peristiwa Saidina Umar dipelawa untuk solat di dalam gereja, tapi beliau menolaknya bukan kerana benci, tetapi jika hal itu menjadi hujah dan dalil bagi generasi kemudian yang tidak mengetahui konteks sebenar.

Inovasi Menyelamatkan Generasi : Bir Pletok

Umum mengetahui, negara seberang yang kita sayangi, Indonesia, telah dijajah antaranya oleh Belanda. Dikalangan askar-askar belanda ini mereka gemar minum minuman keras, arak atau bir. Bagi muslim, bir ini termasuk minuman yang diharamkan untuk kita minum, pengetahuan tentang pengharaman ini termasuk dalam kategori yang kita namakan, ‘al ilmu ma'lum bi dharurah’, iaitu satu pengetahuan yang sememangnya kita tahu sejak dari kecil.

Justeru, bagi mengelakkan generasi muda muslim Indonesia terpengaruh dengan bir yang memabukkan itu, satu inovasi telah dibuat agar muslim di Indonesia tetap saja boleh menikmati bir, tapi dalam keadaan halal. Nah, kemudian terciptanya satu resipi minuman yang dinamakan ‘Bir Pletok’ yang sangat terkenal di Indonesia, khususnya di Betawi, Jakarta. Nama ‘Pletok’ itu diambil daripada bunyi hentaman ais pada gelas bagi menghasilkan buih. Selepas bahan-bahan untuk membuat ‘bir halal’ ini dicampurkan dan sempurna, airnya dicurahkan di dalam gelas tertutup, kemudian dimasukkan ais. Lalu ditutup gelasnya dan digoncangkan. Lantas, terhasilnya bunyi ‘tok tok tok’ daripada ais dan dinding gelas. Justeru, diberilah nama ‘Bir Pletok’. Cubalah resipi ‘bir halal’ ini, rasanya sangat menarik dan menyegarkan.

Makanya, meriahkanlah masjid-masjid kita dengan program yang bisa menarik minat anak muda, pimpinlah tangan anak-anak kecil yang bermain-main dan berbuat bising di masjid, usah dimarahi atau memasamkan muka melihat gelagat mereka.


Arahan di dalam salah satu masjid di kawasan Kuala Lumpur yang diambil sendiri oleh penulis

Disambung Lagi Hikayat Kita

Pengajian dua hala antara Abdullah Munsyi dan Paderi Tuan Milne diteruskan, disebut dua hala kerana Abdullah Munsyi menjadi anak murid Paderi Tuan Milne dalam mendalami Bahasa Inggeris dan Paderi Tuan Milne pula menjadi murid kepada Abdullah Munsyi dalam mempelajari Bahasa Melayu.

Tekanan dari penduduk kampong yang berbangsa Melayu terus diberikan kepada Abdullah Munsyi, sehingga ada yang mengatakan,

“Apakah faedah dipelajari bahasa kafir itu?”

Respon Abdullah Munsyi:

“Maka sekalian itu tiada kuendahkan, karena kuketahui ia itu orang bodoh. 
Maka kalau tidak kupelajari pada masa mudaku ini, apakah kelak 
halku pada masa tua? Dapat tiada menyesal juga, adanya”

(Abdullah Munsyi, Hikayat Abdullah, halaman 105, Yayasan Karyawan Kuala Lumpur).

Tiada apa yang perlu kita takuti, kuncinya adalah belajar dan menuntut ilmu. Jika adapun hal yang kita takut, yang pastinya itu adalah bayang-bayang kita, jika betul posisi kita –tegak benar-benar dibawah mentari- hilanglah bayang-bayang itu maka terbitlah diri kita sebenar. Justeru, carilah penyuluh sumber cahaya, beradalah dibawahnya betul-betul. Percayalah, akan terasing atara kebatilan dan kebenaran

Sambung Abdullah Munsyi lagi apabila memerhatikan gelagat bangsa kita,

“Adapun segala hal ehwal mereka itu sekalian senantiasa bersama-sama dengan aku. Maka kulihat hal ehwal mereka itu dan tabiat mereka itu dan kelakuan mereka itu dan adat mereka itu daripada kecilku sampailah sekian umurku, maka kuperhatikan juga, maka adalah kudapati bangsa Melayu itu makin lama usahkan makin pandai, makin pula bodoh, adanya.”

(Abdullah Munsyi, Hikayat Abdullah, halaman 344-345, Yayasan Karyawan Kuala Lumpur)

-Khairul Shaffei-

Penulis hanyalah penulis jemputan di blog Team Esspresso ini, justeru segala lontaran idea melalui artikel-artikel penulis tinggal menjadi pendapat peribadi sahaja, tiadalah mewakili penulis-penulis tetap yang lain.

No comments:

Post a Comment