Sunday, September 7, 2014

Sang Reformis Nusantara II: Gerakan Feminisme




Pada bahagian yang lepas, kita telah bicarakan soal bahan-bahan bacaan Buya HAMKA dan latar pensejarahan karya agung beliau, iaitu Tafsir Al-Azhar secara ringkas. Tulisan ini tidaklah berniat untuk meriwayatkan secara menyeluruh akan sisi peribadi Buya HAMKA kerana itu sesuatu yang agak mustahil dengan kemampuan diri penulis. Kita akan cuba paparkan serba ringkas perihal sisi peribadi tokoh ini buat tatapan generasi yang baharu atau generasi kategori ketiga.

Sebagai seorang yang berminat dengan isu-isu feminisme di Malaysia atau di Nusantara amnya jadi, pada bahagian ke-2 ini, penulis cuba membawa beberapa persoalan atau menyorot kembali sejarah-sejarah berkenaan dengan isu-isu kewanitaan buat tatapan kita. Secara peribadi, sejak tahun 2008, ketika berusia 14 tahun, penulis telah mengikuti rapat isu-isu berkaitan wanita hasil daripada meletusnya kes seorang wanita yang bernama Kartika pada ketika itu.

Sebelum kita sampai ke Indonesia melihat sisi peribadi dalam kerangka feminisme dalam penulisan Buya HAMKA, ingin penulis membawa naratif berkenaan latar pensejarahan di Malaysia berkenaan isu-isu kewanitaan agar kita memahami masalah-masalah yang sering timbul dan menjadi kegusaran di pihak wanita.

Sekitar tahun 2006, Malaysia dilanda satu semangat palak (berani) apabila sebahagian kaum wanita bangkit menyatakan bantahan kepada Rang Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan pindaan tahun 2005. Pelbagai protes dalam bentuk memorandum, wacana dan seumpamanya disuarakan dan sebuah petisyen telah dihantar kepada Kerajaan Malaysia oleh satu pakatan antara NGO wanita yang memakai gelar Joint Action Group (JAG) yang turut dianggotai oleh wanita non-muslim. Kandungan petisyen ini antara lain terkisar pada hal-hal kedudukan wanita Islam dalam rumahtangga, syarat-syarat poligami, penceraian, pembahagian nafkah dan hadanah(hak penjagaan anak).

(Rujukan petisyen: http://www.wao.org.my)

Tidak cukup dengan itu, hak wanita di Malaysia yang kian terhakis juga dikatakan bertentangan dengan piagam United Nation (UN), iaitu Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan CEDAW (Convection To Eliminate All Forms of Discrimination Against Women). Tidak cukup dengan ini lagi, Datin Paduka Marina Mahathir (anak kepada Perdana Mentari Malaysia ke-4) telah menulis satu artikel yang agresif saya fikir dan bukan sama sekali bersifat ‘rien du tout’ - tak ada apa apa, bak kata orang Perancis,melalui akhbar The Star pada column “Musings” bertarikh 16 Mac 2006. Antara kandungan article ini adalah beliau (Marina Mahathir) telah menyamakan pengakisan hak wanita di Malaysia ini seperti Dasar Aperteid yang diamalkan di Negara Afrika sana. Wanita seolah-olah ‘second-class citizens’.

Hasil perjuangan para aktivis wanita ini, saya difahamkan oleh Puan Kamar Aniah (seorang peguam. Beliaulah peguambela yang mewakili Dr. MAZA dalam kes JAIS dahulu, dan Alhamdulillah, Dr. MAZA menang kes menentang kerakusan JAIS tersebut) menerusi satu kertas kerjanya bahawa Rang Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan pindaan tahun 2005 ini akhirnya tidak terpakai dan dirujuk kembali oleh Perdana Menteri kepada Pejabat Peguam Negara dan tergantung begitu sahaja.

Demikian saya titipkan sejarah yang pernah berlaku di Malaysia, suatu ketika dahulu. Maka pada usia 20 tahun ini, mengertilah saya akan satu peribahasa Melayu, iaitu ‘Tangan yang menghayun buaian mampu menggegarkan dunia’. Dan benar-benar Malaysia sedikit ‘bergegar’ pada waktu itu.

Buya HAMKA dan persoalan isu-isu feminisme.

Apabila kita bercakap soal hak, iaitu hak wanita, tidak perlu kita mendefiniskan dengan bahasa akademik yang tinggi dan falsafah pung pang pung pang yang panjang lebar. Cukup kita memahami bahawa hak wanita adalah peruntukan terhadap wanita. Dan dalam konteks sekarang kita bercakap soal peruntukan terhadap wanita yang telah dijamin oleh Islam. Buya HAMKA, sebagai seorang sarjana dan penulis prolifik yang menulis dalam pelbagai genre banyak menyelitkan perjuangan feminisme ini di dalam tulisan beliau. Bahkan Buya HAMKA ada menulis secara khusus mengenai hal ini dalam bukunya yang bertajuk “Kedudukan Wanita Dalam Islam”.

Pada halaman-halaman awal buku ini, Buya HAMKA membicarakan soal pemimpin dikalangan wanita. Ini adalah satu isu yang besar di dalam Islam yang dibincangkan oleh para sarjana, ‘Adakah islam membenarkan wanita menjadi pemimpin?’. Maka telah berlaku perbedaan pendapat dikalangan para sarjana dalam berinteraksi dengan hal ini. Para ulama di Saudi umpamanya, mereka mengharamkan wanita diangkat menjadi pemimpin berdasarkan hadis Nabi (s.a.w) :

“Satu kaum tidak akan beruntung jika dipimpin oleh seorang wanita”

(Riwayat Bukhari, Dalam Sahih Bukhari, Kitab ‘Maghozi’, bab ‘Surat Nabi s.a.w kepada Kisra’ dan Qaishar, hadis no 4073, dan kitab ‘Fitnah’, bab ‘Fitnah bergelombang bagaikan gelombang lautan’, hadis no 6570.)

Namun, dikalangan ulama yang lain pula, mereka membenarkan wanita diangkat menjadi pemimpin kerana hadis ini mempunyai konteks (sebab) yang tersendiri, iaitu Nabi (s.a.w) merujuk kepada Kerajaan Parsi pada ketika itu yang mengangkat anak perempua Kisra menjadi raja. Kemudian, pada zaman Saidina Umar Al-Khatab (r.a), diriwayatkan bahawa beliau telah melantik Syifa’ Bt Abdullah (r.ha) sebagai qadhi di pasar Madinah. Serta ketika berlakunya fitnah pembunuhan Saidina Uthman Bin Affan (r.a), Ummu Mu’minin Saidatina Aisyah (r.ha) telah memimpin satu  pergerakan dari Mekah menuju Madinah dan telah berada dibawah arahannya umat Islam pada ketika itu, termasuk dua orang sahabat Nabi yang dijamin syurga, iaitu Talhah Bin Ubaidillah (r.a) dan Zubair Ibn Awwam (r.a). Seterusnya, Al-Quran juga mengisahkan tentang kehebatan kepimpinan wanita (Ratu Saba’) yang memerintah negerinya. Waallahua’lam, polemik akan hal ini masih berterusan sehingga hari ini.

Namun, Buya HAMKA mempunyai pandangannya yang tersendiri berkenaan hal kepimpinan dikalangan wanita. Berdasarkan ayat Al-Quran “ba’dhuhum auliyaauba’dhin - yg setengah memimpin yg setengah yg lain” (Surah At-Taubah :72)
Kata Buya HAMKA, “lebih jelas lagi bahawa dalam beberapa hal, bukan saja lelaki yang memimpin perempuan, bahkan perempuan memimpin lelaki”
(Rujuk : Prof. Dr. HAMKA, Kedudukan Wanita Dalam Islam, m/s 10, Terbitan Pustaka Dini)


Di dalam buku yang lain, iaitu Buku ‘Tanya Jawab 1’, Buya HAMKA dengan lebih jelas memberikan pendapatnya tentang hal ini. Buya HAMKA perpendapat wanita boleh menjadi pemimpin dengan syarat adanya penasihat-penasihat yang bijak disekelilingnya yang boleh memberikan nasihat yang bernas. Dan Buya HAMKA membawa naratif sejarah bahawa di Mesir pada tahun 1249 H sehingga tahun 1257 H pernah seorang wanita diangkat menjadi raja, namanya Syajarotu Durr. Inilah pemimpin wanita pertama di negeri Islam. Antara jasa Ratu wanita inilah adalah pengiriman ‘mahmal’ iaitu seekor unta dengan pelbagai kebesaran membawa kain kaabah (kiswah) ke Mekah, dan tradisi ini terus berlaku sehingga hari ini.

Menariknya lagi, Buya HAMKA membawa satu naratif sejarah berkenaan Negeri Acheh yang pernah diperintah oleh wanita. Iaitu pada tahun 1641 H. Permaisuri kepada Raja Iskandar Tsani yang juga merupakan puteri kepada Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam diangkat menjadi Sultanah di Acheh dengan memakai gelar ‘Shultanat Tajul Alam Shafiyyatuddin Syah’ atau disebut juga ‘Puteri Seri Alam Permaisuri’. Baginda Sultanah memerintah sehingga tahun 1675 H, iaitu selama 34 tahun. Kemudian digantikan lagi dengan pemimpin dikalangan wanita, yang memakai gelar ‘Sultanat Naqijatud Din Nurul ‘Alam’ yang kemudian meninggal pada tahun 1678 H selepas 3 tahun memerintah. Kemudian, digantikan lagi dengan pemimpin wanita, yang memakai gelar ‘Sultanat ‘inayat Syah’, memerintah sehingga tahun 1688 H, iaitu selama 10 tahun. Kemudian, diganti lagi oleh wanita, yang memakai gelar ‘Sultanat Kamalat Syah’, memerintah sehingga tahun 1699 H (10 tahun pemerintahan). Semua pemerintahan Permaisuri-permaisuri ini berjalan dengan lancar dengan dibantu oleh ahli musyawarah yang bijaksana. Demikian menurut Buya HAMKA.

Berbalik kepada latar pensejarahan sekitar tahun 2006 tadi, antara isu yang diangkat adalah talak atau penceraian. Dikatakan kuasa talak itu terletak pada tangan suami dan dalam masa yang sama juga lelaki muslim dibenarkan berpoligami. Di Malaysia, anda wajib mengetahui bahawa lelaki non-muslim tidak dibenarkan mengamalkan poligami. Hal ini tertakhluk di bawah Law Reform (marriage and divorce) Act yang berkuatkuasa pada 1 Mac 1982. Ini menambahkan lagi minyak dalam api kemarahan para aktivis wanita muslim di mana suami mereka boleh berpoligami, sedangkan suami kepada Sumitha Dewi dan Ng Yen Yen, jiran mereka, tidak boleh berpoligami. Macam mana Kak Bedah tak marah dik oii!!

Buya HAMKA ada menulis sebuah biografi agung menceritakan perihal ayahnya, Haji Karim Amrullah, yang berjudul ‘Ayahku’. Ketika menyusun naratif kronologi hidup ayahnya, ada satu bahagian yang menarik berkenaan fatwa ayahnya yang membela dan mengangkat kaum wanita daripada kezaliman kaum lelaki (suami).

Pada zaman itu, wanita sewenang-wenangnya dihukum sebagai nusyuz (derhaka) jika tidak mengikuti arahan suami walaupun suami itu berperangai bangsat dan keparat. Dan wajib pembaca sekalian mengetahui bahawa apabila digelar nusyuz, kesan kepada wanita itu adalah segala nafkah zahir dan batin tidak akan diberikan atau dalam istilah Kak Bedah tadi – jiran Sumitha Dewi dan Ng Yen Yen-, ‘gantung tak bertali’. Isteri itu ditinggalkan tanpa diceraikan dan si suami bebas keluar mencari wanita lain buat dijadikan isteri (poligami).Demikian hal ini berlaku dan yang menarik lagi, tokoh-tokoh agama, para kadhi merestuai perkara ini berlaku malah membela kaum lelaki itu. Dan kesannya, sampai ada wanita yang murtad kerana tidak tahan dengan penangan ‘gantung tidak bertali’ ini.

“Kerapkali perempuan menjadi gila lantaran hukuman seperti ini, dan ada yang nekad, lalu pergi ke masjid memaklumkan di muka ramai, bahwa dia mulai saat itu juga keluar dari agama islam, tidak percaya kepada Allah dan tidak percaya kepada Rasul dan mendustakan Al-Quran. Kerana dengan jalan keluar agama Islam itu dengan sendirinya putus pula tali pernikahannya dengan suaminya.”
(Ayahku, m/s 122 terbitan UMMINDA)



Kerana itu saya katakan, Islam sering menjadi mangsa diserang dari dua arah, dalam dan luar. Serangan dari luar adalah dari musuh-musuh Islam dan serangan dari dalam adalah daripada agamawan sendiri yang membuat fatwa-fatwa pelik yang bercanggah dengan ruh agama suci ini. Lalu berlakulah salah faham di pihak orang ramai terutama mereka yang teraniaya, dalam kes ini, kaum wanita.

Namun, hal ini disangkal dan dibantah secara keras oleh ayahanda Buya HAMKA, Haji Karim Amrullah pada ketika itu. Telah berlaku perselisihan antara Haji Karim dan pegawai Belanda yang menjaga hal ehwal agama Islam pada ketika itu kerana Haji Karim cuba melawan ‘fatwa jahat’ atau dalam lingo anak muda hari ini, ‘fatwa tak cool’ yang menganiaya para wanita ini. Maka pegawai Belanda ini membuka segala macam kitab-kitab Mazhab Syafie buat membenarkan fatwa songsangnya, segala dolak dalik digunakan, atau ‘kluk klek kluk klek’ kata orang Terengganu. Namun, ilmu di dada Haji Karim yang maha tinggi itu tidaklah dapat ditangkis oleh pegawai Belanda tersebut walaupun cuba merujuk kepada kitab-kitab yang tebal.Lalu disindir oleh Haji Karim,

“Cuma dengan kitab ‘Fathul Qarib’ dia hendak melawan saya! Belanda mana tahu agama Islam, walaupun dia bertitel doctor atau professor”
( Ayahku, m/s 124 Terbitan UMMINDA).

Selepas kejadian ini dan campur tangan Haji Karim, nasib para wanita dari sudut hal nikah kahwin telah terbela dan tidak dapat lagi para suami menganiaya isteri-isteri mereka. Antara yang dilakukan oleh Haji Karim bagi membela kaum wanita adalah lafaz ta’liq khuluk dan menetapkan bahawa jika suami menceraikan isterinya dengan talaq tiga sekaligus dalam satu majlis, maka akan terus jatuhlah talaq tiga itu.

 Inilah juga fatwa Saidina Umar Al-Khatab (r.a). Namun, pada zaman Nabi (s.a.w) dan Saidina Abu Bakr (r.a), jika suami menceraikan si isteri dalam satu majlis sebanyak tiga kali, maka yang jatuh hanyalah satu talaq. Contoh, jika dalam satu majlis, si suami berkata, “aku ceraikan kau, aku ceraikan kau dan aku ceraikan kau” kepada isterinya, maka jatuhlah satu talaq, walaupun disebut sebanyak tiga kali. Namun, Haji Karim berfatwa, jika si suami melakukan hal ini, secara automatisnya jatuh tiga talaq. Ini bukanlah bermaksud Haji Karim meninggalkan sunnah Nabi (s.a.w) dan Saidina Abu Bakr (r.a), namun beliau ingin mengajar kaum lelaki pada zaman itu agar jangan dibuat main dengan talaq dan jangan sewenang-wenangnya melafazkan talaq tiga kepada isteri. Hal ini juga dibuat oleh Saidina Umar Al-Khatab (r.a) pada zamannya.

Dengan memberi contoh-contoh seperti ini, penulis berharap agar para aktivis feminist ini memahami dan dapat membezakan antara tafsiran para ulama dan apa yang sebenarnya yang dikehendaki oleh agama suci ini. Kadang kala, tafsiran ulama itu boleh tersilap dan lari daripada kehendak agama ini. Apabila berlaku keadaan begini, janganlah sesekali bersilat lidah menyalahkan agama ini kerana itu adalah kesilapan ulama. Dan kita juga perlu memahami bahawa, para ulama itu manusia biasa yang bisa melakukan kesilapan, semoga Tuhan mengampuni mereka.

Secara jujurnya, kita ingin menjawab beberapa kegusaran yang bermain dalam fikiran sesetengah wanita berkenaan hukum Islam yang seakan-akan menindas wanita, seperti poligami, pembahagian harta pusaka, hak penjagaan anak, hak untuk menjadi saksi dalam kes-kes jenayah dan seumpamanya, agar hilang segala prasangka terhadap agama ini. Ingin kita jelaskan sejelas matahari terbit. Namun, pada ruangan ini kita fikir tidak terdaya untuk berbuat demikian kerana fokusnya adalah pada sisi peribadi Buya HAMKA itu sendiri, bukan semata-mata isu-isu kewanitaan. Dan sisi peribadi Buya HAMKA ini banyak lagi yang belum diterokai dan masih banyak yang mahu ditulis.

Insyaallah, di ruangan dan pada artikel yang lain, kita akan cuba menulis dan meluruskan salah faham golongan wanita terhadap agama ini yang dikatakan menindas wanita, sedangkan hal yang sebenar tidaklah seperti yang kalian fikirkan.
Semoga Tuhan memberi kekuatan.

Bersambung…. (insyaallah)

-Khairul Shaffei-

*Penulis adalah penulis jemputan di blog Espresso ini. Maka, segala buah fikir dan lontaran idea pada setiap kata di dalam makalah ini tidak sama sekali mewakili karakter semua penulis-penulis tetap yang lain. Penulis boleh dilawati di laman facebook ‘Khairul Shaffei’.

Klik untuk Sang Reformasi Nusantara I

No comments:

Post a Comment