Sunday, September 28, 2014

Abe A, Roti Sardin Satu! Tapi Tak Nak Sardin!

(Peringatan lembut: Abam-abam dan kakak-kakak yang nak baca entri ini, ittew nak habaq yang entri ini sesuai dibaca oleh mereka-mereka yang dah ikut usrah ataupun yang telah disentuh tarbiyyah. Mana-mana yang belum, awucks boleh jaa baca tetapi mohon jangan alergik dengan usrah. Kerana entri ini sumpah berat. Anda telah diberi peringatan lembut!)

Okay, muntah pelangi.

Kadang-kadang kenangan lama mampu mengusik jiwa dan membuatkan diri saya tersenyum. Saya akui saya sangat merindui kolej persediaan saya; Kolej Mencari Bini label sesetengah orang tetapi bagi saya ianya tetap Kolej Melampau Busy-nya. Yalah, tempat tumpahnya darah pun dikenang, apatah lagi tempat ditampar Makcik Hidayah (maaf Inche Gabbana sekali lagi tiru anda).

Kalau dilihat keadaan sekeliling, pasti anda akan keliru sebentar. Sama ada anda tersesat masuk ladang kelapa sawit atau kolej ini memang terletak di ceruk. Tetapi demi Allah, biarpun luarannya nampak biasa-biasa sahaja, namun ruhnya sangat berbeza dan sangat menghidupkan.

Antara benda yang saya rindui ialah roti canai Abe A. Dengan elaun yang tak berapa nak besar, saya hanya boleh menikmati roti canai Abe A andai diberi rezeki lebih sahaja. Kalau pokai, korek sana sini cari duit syiling untuk cukup-cukup beli Roti Telur. Kalau kaya sikit, beli Roti Sardin.

Kadang-kadang bila orang tak ada, saya gemar juga berbual dengan Abe A. Banyak juga celoteh dia yang menghiburkan dan banyak juga celoteh yang meninggalkan kesan yang mendalam. Hebat. Sambil-sambil berbual, saya sering memerhatikan dia membuat roti canai.

Dihempasnya doh yang diuli ke atas meja roti canai (tak tahu apa nama di tapi anda mengerti, bukan?), kemudian ditebarnya sehingga dohnya menjadi selebar piring terbang. Dipecahkan sebiji telur, dihancurkan seketul sardin, dicampur bawang dan cili padi dan digaul sehingga sebati dalam sebuah mangkuk plastik warna biru sebelum ditebarkan diatas doh. Kemudian dibungkusnya dengan cermat dan diletakkan atas kuali leper yang membara panasnya.

Bila dah siap, dimakan panas-panas dengan kuah kari yang memang umphhh tak terkata sedapnya. Air pula Teh Ais yang memang sedang-sedang manisnya. Kombinasi yang cukup sempurna.

Senpai, anda buat kami lapar.

Kemudian saya terfikir, agak-agak kalau saya pesan Roti Sardin tetapi saya tak mahu sardin, adakah Abe A akan ketawakan saya atau baling kuali yang panas itu ke muka saya?

Saya bermonolog lagi, adakah Roti Sardin tanpa sardin itu sesedap Roti Sardin yang ada sardin?

Seterusnya saya bermonolog, adakah Roti Sardin tanpa sardin layak dipanggil Roti Sardin? Atau ianya akan menjadi Roti sahaja tanpa Sardin?

Err, apa yang anda cuba sampaikan?

Manusia memang rambut sama hitam, kecuali yang rambut kaler lain laa, tetapi hati lain-lain. Para du’at juga tidak terlepas kerana mereka juga, percaya atau tidak, manusia.

Apa? Mereka manusia? (emotikon terkejut)

Mereka juga ada ragam mereka masing-masing. Bukan semua manusia yang bergelar du’at mempunyai kepala yang sama biarpun input pengisian konferens riang dan pertemuan bulatan gembira mereka sama. Disebabkan itu jugalah ada da’ie yang beranggapan bahawa Dakwah dan Tarbiyyah (DnT) itu boleh dipisahkan.

Ya, percaya atau tidak ada da’ie yang inginkan dakwah tanpa tarbiyyah dan ada juga yang ingin tarbiyyah tanpa dakwah. Mana yang tak mahu dua-dua, mohon abam-abam dan kakak-kakak dakwah fardhiah (DF) dia betul-betul. Ada potensi jadi mad’u tu.

Dakwah Tanpa Tarbiyyah

Kebanyakan du’at yang mempunyai ideologi ini mempunyai himmah yang begitu tinggi. Mereka bersemangat nak sebarkan Islam kepada orang lain dan beranggapan Islam itu mudah untuk difahami. Berbekalkan ilmu agama silibus sekolah menengah dan ceramah-ceramah pak ostad di kaca televisyen mahupun secara langsung, mereka begitu yakin dakwah mereka akan menyentuh ramai pihak.

Dengan menggunakan kisah seorang sahabat sebagai dalil perbuatan mereka iaitu Abu Dzar al-Ghifari, mereka begitu teguh dengan pendirian ingin D tanpa T. Mereka mengatakan Abu Dzar setelah memeluk Islam segera berlari kehadapan Ka’abah dan memberitahu keIslamannya serta menyeru Arab Quraisy untuk sama-sama memeluk agama ini. Tetapi dia dibelasah teruk sehingga Abu Bakar memberitahu bahawa dia Abu Dzar yang sangat digeruni.

Keesokannya Abu Dzar datang lagi melakukan benda yang sama. Sekali lagi Arab Quraisy membelasah dirinya sehingga teruk. Abu Bakar segera meleraikan pem-belasah-an itu dengan memberitahu identiti lelaki yang dibelasah itu. Punya hebat Abu Dzar sehingga dia melakukan perkara yang sama keesokannya.

“Nampak tak betapa hebatnya Abu Dzar? Dia baru dapat Islam terus buat dakwah kot!”

Kisah itu benar tetapi belum tamat sepenuhnya. Sabaq no.

Tarbiyyah Tanpa Dakwah

Tidak kurang juga ada yang inginkan T tanpa D. Kebanyakan mereka yang berpendapat sebegini terdiri daripada golongan yang anti-sosial, kurang keyakinan diri, dan senyap. Nak beri pendapat dalam bulatan gembira masing-masing pun perlukan dorongan murabbi, apatah lagi nak menyampaikan kepada orang lain.

Nak bagi tazkirah lepas Maghrib? Kalau boleh lepas imam bagi salam terus nak cabut lari sebab takut punya pasal. Suruh jadi PIC (person-in-charge. Tudiaa sekali sekala guna Bahasa Inggeris. Baru global) untuk konferens riang adik-adik, tersipu-sipu malu.

Minta ditadabburkan ayat sepotong dua pun memakan masa setengah jam, itupun untuk berfikir! Pendek kata mereka ini tidak tahu bagaimana untuk bergaul dengan manusia! Habluminallah setel tetapi habluminannas kureng.

Mereka-mereka ini menggunakan dalil Qur’an yang berbunyi:

“Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi
semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak
pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka
beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan
mereka tentang agama dan untuk memberi
peringatan kepada kaumnya apabila mereka
telah kembali kepadanya, supaya mereka
itu dapat menjaga dirinya.”

(Surah At-Taubah, 9:122)

Allah yang suruh kot. Takkan nak lawan?

Sebenarnya, setelah tiga kali Abu Dzar melakukan perkara sedemikian, Rasulullah segera menemuinya dan berkata, “Bukan ini caranya.” Dan Rasulullah mengajar Abu Dzar akan agama dan menyuruhnya kembali kepada kabilahnya untuk menyebarkan agama ini.

Untuk ayat Qur’an itu pula, Allah tidak mahu semua umat Islam untuk pergi berperang kerana tidak akan ada sesiapa pun yang akan mengajar masyarakat tentang Islam andai semua terkorban di medan perang. Juga ada diantara umat Islam yang fizikalnya tidak mengizinkannya untuk berperang seperti Ibnu Maktum tetapi lebih sesuai untuk perihal akademik seperti mendalami ilmu agama.

Jujur saya katakan bahawa Dakwah dan Tarbiyyah itu tidak boleh tidak harus seiringan. Tidak boleh juga nak kata kita harus mentarbiyyah diri kita sehingga betul-betul bersedia baru menyampaikan kepada orang lain.
Islam tidak membebankan umatnya. 

Tidak perlu jadi ustaz atau syeikh terlebih dahulu baru boleh keluar untuk berdakwah. Idealnya pada saat kita ditarbiyyah, saat seterusnya digunakan untuk berdakwah kerana seperti yang saya katakan, mereka seiringan.

Setakat ini saya jarang menemui mereka yang ingin berdakwah tanpa tarbiyyah kerana ini sumpah rare. Yang sering saya temui ialah mereka yang dahagakan tarbiyyah tetapi tidak mahu berdakwah. Kerana perkara ini pernah berlaku kepada diri saya sendiri, iaitu adik usrah saya.

Saya akui dia memang hebat daripada segi agamanya. Ketika mula-mula berbulatan, dia seakan-akan malu untuk bercakap dan melontarkan pandangan. Tetapi bila dia buka mulut, tudiaa tajam menusuk kalbu! Pernah juga dia suarakan keinginannya untuk tidak membawa bulatan gembira. Tetapi alhamdulillah, sebulan dua yang lalu dia Wasep saya dan bertanya, “Macam mana nak tajmik adik-adik eh?”

Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya saya pada waktu itu. Sepanjang berWasep dengan dia saya asyik tersenyum sehingga Ibu fikir saya sedang berWasep dengan *kofkofkof* akhwat.

Sekarang, dia sudah pun memiliki bulatan gembiranya tersendiri. Dan mesejnya yang terbaru berbunyi, “Saya kat konferens riang adik-adik ni.”

Okay, air mata tengah berkumpul.

Hakikatnya, andai seseorang yang mendapat tarbiyyah itu benar-benar memahami pentarbiyyahan yang diperoleh, pasti tidak akan timbul isu tidak mahu berdakwah. Andai dia tidak mahu bawa bulatan gembira, anda boleh cadangkan dia wasilah dakwah lain yang bersesuaian dengannya. Elakkan dia daripada langsung tidak melakukan dakwah.

Teringat kisah Abu Bakar ra yang berjaya meng-Islam-kan enam orang lain sehari setelah memeluk Islam tetapi harus diketahui di sini bahawa pemahaman mereka terhadap syahadah itu berbeza dengan kita. Abu Jahal itu bukannya tidak percaya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah dan Allah itu Esa, tetapi kerana dia faham akan tanggungjawab yang harus dipikul setelah melafazkan syahadah membuatkannya menjadi musuh orang Islam.

Andai ada dalam kalangan rakan anda atau mutarabbi anda yang tergolong dalam dua golongan diatas, saya mendoakan yang terbaik agar mereka dapat melihat hakikat DnT yang sebenar. Anda juga harus memainkan peranan untuk memberitahu mereka bahawa DnT itu tidak boleh dipisahkan kerana mereka bagaikan aur dan tebing, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Eh.

Bersabarlah dalam melaksanakan amanah yang diberi Allah. Tunjukkan qudwah yang terbaik untuk mereka contohi. Yang paling penting, kita du’at dan bukannya penghukum.

Percayalah dakwah tanpa tarbiyyah itu menempah maut namanya dan tarbiyyah tanpa dakwah itu gila!
Moga Allah redha.

-Senpai-

Notakaki: Lepas baca balik, taklah berat mana entri kali ni. Ke tak? Eheh.

Notakaki-kaki: Kalau minta Roti Sardin tanpa Sardin pun, bukannya harga turun. Abe A tetap gak caj dengan harga biasa. Kenapa tidak ambil je Sardin tu? Alang-alang menyelam sambil makan Roti Sardin? Eh.

No comments:

Post a Comment