Monday, September 29, 2014

[Khas] Ulasan Recruit: The Unseen Enemy

Logo pun dah lawa.

Dua hari lepas, negara telah digemparkan dengan terbitnya sebuah filem pendek karya Hamasah As-Syabab yang telah berjaya mengumpul sebanyak RM 1 juta pada hari pertama tayangannya!

Okay, itu belum benar. Mungkin satu hari nanti?

Sebenarnya, dua hari lepas kami mendapat notifikasi daripada saudara Afiq Sazlan dimana dia meminta kami untuk membuat ulasan bagi filem pendek terbaru karya HAS yang bertajuk ‘Recruit: The Unseen Enemy’.

Kami berasa sangat terharu kerana beliau telah meletakkan kami sebaris dengan nama-nama besar lain seperti MrTheAllShared (MTAS), The Ulwan Mokhtar, Troll Tarbawi, Aku Bukan Superman, Inspector Saahab, dan sudah semestinya Inche Gabbana dalam komen beliau.

T.T <--- air mata terharu

Kami juga merasakan bahawa amanah yang telah diberikan oleh saudara Afiq harus kami tunaikan dengan sepenuh jiwa dan raga kami walaupun kami sendiri kurang layak untuk mengulas sebuah karya hebat kerana karya yang kami hasilkan jauh ketinggalan berbanding karya HAS.

Cukup dengan ngomelan kami, kembali kepada urus niaga (baca: back to business).

‘Recruit: The Unseen Enemy’ merupakan sebuah lagi filem pendek yang dihasilkan oleh HAS dengan sokongan dan kerjasama penuh MTAS, Ulwan Mokhtar, dan beberapa orang krew yang lain. Jujur saya katakan, saya amat cemburu dengan limpahan idea, semangat, dan tenaga yang telah ditunjukkan oleh mereka-mereka yang terlibat dengan filem pendek ini.

Durasi filem ini walaupun nampak pendek iaitu 7 minit 40 saat, namun saya percaya proses penggambarannya, pengeditan, malah penyediaan tapak mungkin memakan masa lebih daripada 24 jam. Belum lagi ditambah dengan usaha mereka mengerah tenaga dan mengumpul dana daripada crowdfunders, fuhhh bukan senang proses penghasilan sebuah filem pendek seperti ini!

Sekiranya mereka yang terlibat ini tiada kefahaman yang betul-betul mendalam terhadap apa yang mereka ingin capai melalui filem ini, saya yakin pasti ada yang akan mengalah separuh jalan. Seperti yang telah saya katakan tadi, bukan senang boh nak buat sebuah filem!

Sinopsis Ringkas

Pada zahirnya filem ini mengisahkan beberapa orang askar yang telah ditugaskan untuk mengawal kubu mereka daripada serangan pihak musuh. Walaupun menurut juruhebah 2Idiots.FM, Malaysia sudah merdeka dan kini berada dalam keadaan yang aman, namun askar-askar ini tetap berjaga-jaga dan bersiap sedia melawan musuh yang rata-rata orang lain tidak nampak. Ditakdirkan kubu mereka telahpun diserang pihak musuh dan dua orang daripada empat orang askar telah terkorban. Dua orang lagi berjaya melarikan diri.

Di Bawah Permukaan Filem

Kalau sinopsis ringkas tadi berkaitan apa yang kita nampak pada zahirnya, bahagian ini pula akan mengulas mesej sebenar yang cuba disampaikan oleh HAS. Kami kira filem ini ditujukan khas kepada mereka-mereka yang telah mendapat tarbiyyah kerana dialog yang diucapkan oleh pelakon semuanya mempunyai mesej yang tersirat.

Walaupun pada zahirnya negara kita telah merdeka, namun kita sebenarnya sedang berada dalam satu peperangan yang tidak nampak dek mata kasar, yakni serangan pemikiran. Serangan pemikiran ini bagi saya lebih mendalam impaknya berbanding serangan fizikal kerana ianya menyerang daripada dalam, tanpa kita sedar.

Maka ‘askar-askar’ yang ditugaskan menjaga kubu itu tidak lain tidak bukan mereka-mereka yang mempunyai kefahaman agama atau kata mudahnya mereka yang telah mendapat tarbiyyah. ‘Kubu’ itu pula saya kira metafora untuk kefahaman agama kita. Ini secara tidak langsung menjelaskan dialog pada minit 4:36 dimana dia direkrut ketika dia sedang belajar bidang perubatan untuk menjadi ‘askar’.

Juga dikatakan bahawa semakin sedikit orang yang mereka dapat rekrut untuk menjadi ‘askar’ ini. Saya kira ini tamparan hebat bagi para du’at di luar sana agar bekerja lebih keras untuk memahamkan lebih ramai orang Islam mengenai Islam.

Mana mungkin agama ini akan mencapai Ustaziyatul ‘Alam (tahapan tertinggi dalam Maratib Amal) dengan sekadar dua-tiga orang ‘askar’ yang berjuang mempertahankannya?

Teknikaliti dan Sinematografi

Satu perkataan: mantap. Serius. Tak bosan tengok walaupun 7 minit 40 saat. Saudara Nazirul Haziq dan Saudara Afiq Sazlan telah berjaya merakam babak-babak dalam filem ini dengan berkesan! Sudut rakaman mereka sememangnya memberi impak kepada penonton seolah-olah mereka juga berada di kubu itu bersama mereka.

Secara peribadinya saya tabik babak Azfar ditembak hendap oleh pihak musuh dan bagaimana babak itu diperlahankan untuk memberi kesan dramatis kepada penonton.

Kami tak pro bab-bab teknikaliti ni sebab tu ulasan dia pendek. Kuikui.

Kelemahan

Saya akui setiap karya yang dihasilkan, tidak kira oleh mereka yang profesional mahupun yang biasa-biasa saja, pasti ada sedikit kekurangannya. ‘Recruit: The Unseen Enemy’ juga mempunyai sedikit kelemahan yang saya kira sedikit menjejaskan keseluruhan karya.

Pertamanya, mesej yang terlalu kriptik. Mungkin seperti yang saya katakan, filem ini ditujukan khas bagi mereka yang telah mengikuti tarbiyyah namun saya cuba menontonnya dengan kaca mata orang awam. Dan ianya menyeramkan.

Secara tidak langsung filem ini seolah-olah ingin menyampaikan mesej bahawa ada sebuah gerakan yang merekrut pelajar-pelajar untuk mengangkat senjata. Ditambah lagi dengan dialog pada minit 4:36 dan minit 5:13, seolah-olah tujuan hidup mereka ini adalah untuk mengangkat senjata dan berperang.

Keduanya, realiti lakonan. Pada minit 1:19, kelihatan saudara Farizuan mengacukan senjatanya yang baru sahaja diload semula (baca:reload) kearah saudara Azfar. Ini menempah maut namanya! Seorang askar yang terlatih seharusnya tahu bahawa senjata yang berisi peluru hidup tidak boleh diacukan kepada orang lain lebih-lebih lagi rakan sendiri!

Juga cara memegang pistol pada minit 2:05 yang bagi saya kurang tepat. Juga pada minit 6:00 iaitu ketika Azfar diserang hendap dimana reaksi tiga orang askar yang lain agak lambat dan nampak yang mereka sedang berlakon.

Keseluruhan

Secara keseluruhannya, ‘Recruit: The Unseen Enemy’ merupakan sebuah filem yang harus ditonton oleh para du’at (kurang sesuai untuk orang awam) kerana ianya memiliki mesej tersirat yang hanya seorang da’ie sahaja yang boleh memahaminya.

Tidak rugi kiranya anda meluangkan masa selama 7 minit 40 saat dan kuota Internet anda untuk menonton filem ini kerana ianya sumpah terbaik. Mungkin anda perlu menontonnya lebih daripada sekali untuk memahami mesej yang cuba yang disampaikan tetapi sekali lagi, secara keseluruhannya, ianya harus ditonton!

Apa pun ini hanyalah ulasan daripada pihak kami yang tak seberapa ini. Kami akui untuk menghasilkan sebuah karya bukanlah mudah maka pujian harus diberikan kepada HAS kerana telah berjaya menghasilkan filem ini.

Tepuk tangan sikit.

Segala kritikan kami terhadap filem ini sebenarnya bertujuan untuk memantapkan lagi filem-filem HAS akan datang kerana jujur kami ingin melihat HAS menjadi lebih maju pada masa yang akan datang.

Kami berterima kasih kepada saudara Afiq Sazlan kerana telah menjemput kami untuk membuat ulasan filem ‘Recruit: The Unseen Enemy’ ini. Semoga Allah memberkati usaha HAS dan sosok-sosok pendakwah media kreatif yang lain dan in shaa Allah, mereka-mereka ini akan menawan dunia penyiaran suatu hari nanti.

-Qamamah-

Untuk link video Recruit: The Unseen Enemy, klik sini

No comments:

Post a Comment