Monday, September 22, 2014

Ahh, Bukannya Berkesan, Tahu?

Familiarkah anda dengan produk ini? Atau dah lupa?

Saya masih ingat lagi saat saya diperkenalkan dengan konsep ‘boikot’. Ya, yang itulah.
Pada mulanya saya agak ragu-ragu dengan keberkesanannya.
Dengan momokan masyarakat yang begitu hebat, ditambah lagi dengan ejekan dan pandangan keji mereka-mereka yang memandang remeh perihal boikot ini.

“Pasaipa hang nak boikot Mekdi? Bukannya Israel hancur pun.”

“Dah tak haram pun minum Kopi Bintang.”

“Dalam Qur’an takde pun dalil suruh boikot.”

“Ini semua Illuminati!”

Siapa tidak patah hati dengan sikap masyarakat lebih-lebih lagi saya yang baru sahaja ingin berjinak-jinak dalam boikot-memboikot ini.
Tetapi alhamdulillah, Allah telah menulikan telinga saya dan membutakan mata saya terhadap komen-komen negatif di laman sosial MukaBuku, Pengicau, dan RuangSaya. Eh.

Dan saya pun mula memboikot. Jengjengjeng.

Juga segala puji bagi Tuhan sekalian alam kerana telah memberikan saya dorongan untuk menjadi pemboikot yang bertauliah.

Wakakakaka. Apakah?

Yakni seorang pemboikot yang tidak taklid buta mahupun bermusim!
Ya, itulah realiti sebahagian para pejuang boikot terutama di Malaysia.
Mereka tidak tahu mengapa mereka boikot dan mereka hanya boikot kerana ianya trend masyarakat muda-mudi pada masa itu! Walaowei.

Sungguh kecewa sebenarnya apabila memikirkan sikap masyarakat terhadap boikot ini, baik yang menyokong mahupun yang menentang.
Kepada yang menyokong, kecewa ada sebahagian daripada anda, seperti yang saya katakan diatas, bermusim dan kepada yang tidak menyokong, kecewa anda tidak melihat diluar kotak akan kesan masa pendek mahupun panjang boikot ini.

Tetapi saya tetap menghormati kedua-dua golongan ini.
Saya kecewa dengan mereka tidak bermakna saya mendapat lesen untuk berdebat pungpang di laman sosial, dengan kata-kata yang kurang enak untuk dibaca, didengar, mahupun dikata.
Oh tidak sama sekali!

Seperti yang kita sedia maklum, baru-baru ini dalam dua bulan yang lalu, Gaza telah diserang oleh rejim Zionis Israel.
Ketika itu, umat Islam baru sahaja bergembira menyambut kedatangan bulan penuh barakah yakni Ramadhan.
Namun Zionis Israel tidak peduli akan semua itu dan tidak akan pernah ambil peduli!

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak
akan senang kepada kamu sehingga kamu
mengikuti agama mereka.”
(Surah Al-Baqarah, 2:120)

Ibnu Kathir dalam tafsirnya, Tafsir Ibnu Kathir, mengatakan bahawa ‘kamu’ dalam ayat ini merujuk kepada Nabi Allah iaitu Rasulullah SAW dan Allah memberitahu baginda bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani pada masa itu tidak akan mendengar kata-kata baginda walau apa pun yang baginda lakukan.
Maka tidak ada guna andai Rasulullah SAW cuba untuk menambat hati mereka.

Seakan-akan ianya sering berlaku sekarang, bukan?

Perang yang terbaru ini digelar Perang ‘Asfil Ma’kul iaitu perang dedaunan yang dimakan ulat oleh Hamas dan sayap ketenteraannya iaitu lejen Briged Al-Qassam.
Perkataan “As’fil Ma’kul” itu diambil daripada ayat kelima surah Al-Fil yang menceritakan bagaimana tentera bergajah Abrahah seperti dedaunan yang dimakan ulat setelah dilemparkan batu-batu kecil yang dibawa oleh sekumpulan burung.

Fuh, baru habis mukadimah. Sekarang untuk isinya pula.

Apa? Belum masuk isi lagi?

Sila bawa bertenang dan betulkan postur duduk anda.
Dipendekkan cerita, Abrahah merupakan seorang panglima tentera merangkap gabenor Yaman ketika zaman Arab Jahiliyyah.
Oleh kerana dia seorang yang sangat hebat dan digeruni, dia bercadang untuk membina sebuah gereja yang sumpah lawa untuk Raja Najashi ketika itu.

Setelah siap gereja yang sumpah lawa itu, Abrahah ingin menarik kabilah-kabilah Arab untuk menunaikan haji mereka di gereja itu.
Namun hati mereka tetap kuat dengan Mekah kerana disitulah terletaknya Ka’abah yang menjadi kiblat umat Islam pada masa ini.
Akhirnya, mereka langsung tidak mengendahkan pelawaan Abrahah.

Apa yang kita sendiri rasa bila dah buat sesuatu sehabis baik tetapi tidak ada seorang pun yang menghargainya? Sedih? Marah?

Abrahah tidak dapat menahan amarahnya dan segera menyiapkan tentera bergajah untuk menyerang Mekah, terutamanya untuk menghancurkan Ka’abah.
Dipendekkan lagi cerita, rombongan ketenteraan mereka disambut oleh pemerintah Mekah pada masa itu. Cuba teka siapa?

Kalau anda jawab ‘Abdul Mutallib’, anda memang hebat!

Abdul Mutallib iaitu datuk Rasulullah tidak menghalang Abrahah daripada memasuki Mekah.
Beliau hanya meminta Abrahah untuk mengembalikan 200 ekor unta yang dirampas daripada mereka.

Apa? Orang nak serang tempat tinggal, dia pi boleh minta unta?

Nak tahu apa jawapan Abdul Mutallib? Antara kata-kata lejen dia:

Sesungguhnya, aku adalah pemilik unta itu, sedang
rumah suci itu ada pemiliknya yang akan melindunginya.”
(Tafsir Surah Al-Fil, Fi Zilal Quran)

Dan kata-kata datuk Rasulullah terbukti benar.
Allah telah menghantar beberapa kumpulan burung yang melemparkan batu-batu yang berasal daripada tanah liat kepada tentera Abrahah itu sehingga mereka menjadi seperti dedaunan kering yang terobek.

Ya, kalau digunakan logik akal mana mungkin batu-batu yang kecil boleh menghancurkan segerombolan tentera yang lengkap dengan gajah (masa tu gajah dikira asset perang yang sangat hebat. Ala-ala kereta kebal masa ini)?

Saya kira Allah ingin memberitahu kita dua perkara disini.
Pertamanya, pertolongan Allah itu benar.
Arab Quraisy pada masa itu begitu sombong dan angkuh kerana mereka terpilih untuk menjaga Ka’abah yang menjadi tempat suci mereka tetapi apabila tentera Abrahah tiba, hanya Allah sahaja yang mampu menjaga Ka’abah dan bukannya mereka.

Kedua, benda yang kita anggap kecil atau remeh sebenarnya ada kesannya.
Sedangkan batu-batu tanah liat yang kecil boleh menghancurkan segerombolan tentera, cuba bayangkan apa yang boleh terjadi dengan benda-benda kecil yang lain?

Gajah seberang laut tampak, nyamuk dihadapan mata tidak.

Fitrah manusia untuk mengendahkan benda-benda kecil dan yang dianggap remeh.
Menganggap mereka tidak memberikan ksan apa-apa kepada masyarakat. Seperti boikot.
Tetapi Allah kata sebaliknya.

“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya
seseorang walaupun sebesar zarah, dan
jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya
Allah akan melipat gandakannya dan
memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar.”
(Surah An-Nisa’, 4:40)

Begitu juga dengan amalan kita sebenarnya.
Amal-amal yang kita lihat kecil, andai dilakukan secara berterusan dan istiqamah, in shaa Allah lebih baik daripada amal-amal besar yang dilakukan secara hangat-hangat bahan buangan ayam.

Kita ambil contoh Mat yang qiam berpuluh rakaat sekali seminggu dan Amer yang qiam dua rakaat setiap hari. Mana yang lebih baik?

Senpai, hang bukan Tuhan nak kata amalan Mat tak baik!

Bukan maksud saya untuk memperkecilkan amalan Mat tetapi bukankah lebih baik, lebih elok andai amal-amal yang dilakukan, kita lakukan secara berterusan tanpa henti?

Abu Amr Sufyan bin Abdillah Ats-Tsaqafy ra berkata,
aku berkata, “Wahai Rasulullah, beritahukan kepadaku
suatu ungkapan tentang Islam yang tak akan kutanyakan
kepada seorang pun selain engkau!” Beliau bersabda,
“Katakan ‘Amantu Billah (Aku beriman kepada Allah),
kemudian istiqamahlah.”
(Hadis riwayat Muslim)

Orang Melayu kata, “Sedikit-sedikit lama lama jadi bukit.”

Orang Inggeris pula kata, “Rom tidak dibina dalam satu hari.”

Rasulullah kata, “Katakan ‘aku beriman kepada Allah’, kemudian istiqamahlah.”

Anda sudah nampak kepentingan istiqamah?
Sedang mereka yang bukan Islam juga menunjukkan kepentingan istiqamah melalui cerita Arnab dan Kura-kura, apatah lagi kita sebagai seorang Muslim yang harus berpegang teguh padanya.

Walaupun apa yang kita lakukan nampak kecil dan remeh, istiqamah menjadikan ianya besar seperti Tiranisoros Rex! Susah bebeno nak eja.

Mungkin juga amal-amal kecil kita itu menjadi asbab untuk kita masuk syurga, memberatkan timbangan ketika di Padang Mahsyar kelak. Siapa tahu?

Oleh itu, bak kata Kak Anita Sarawak, jangan pandang ‘benda kecil’ sebelah mata, hanya kerana ‘ianya benda kecil’.

Wallahu’alam.


-Senpai-

No comments:

Post a Comment