Sinar matahari pagi sangat indah, tidak terlalu panas sehingga menghangatkan kulit nan mulus, juga tidak terlampau lembut sinarnya sehingga mendung seakan mahu hujan. Bauan rumbut hijau dibasahi embun pagi sangat segar bisa menenangkan sesiapa saja yang dalam keresahan.
Manusia melihat semua ini, lantas bertanya sendiri. Dari mana datangnya cahaya mentari pada pagi yang indah itu? Aturan terbitnya mentari itu cukup konsisten. Siapa pengaturnya?
Mungkin tiada pengaturnya. Mentari itu memang dengan sendirinya terbit apabila tiba waktunya. Lantas, manusia mula mengagungkan dan menyembah matahari, sang pemberi cahaya yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan.
Namun, tidak selamanya mentari itu tegak berdiri memberi cahaya terang kepada manusia yang menyembah dan mengagungnya tadi. Apabila tiba waktu malam, gelap gulita semuanya hilang terus menjadi kelam. Tetapi muncul lagi satu sosok yang juga memberi cahaya, iaitu bulan. Walau cahaya yang disuluh kali ini tidak begitu terang seperti yang disuluh oleh mentari pada siang hari, namun, pesona cahayanya cukup untuk menangkap imaginasi bagi sesiapa yang melihatnya. Lantas, bulan pula yang disembah dan diagungkannya.
Hari berganti lagi, pagi muncul bersama sang mentari yang menyinari, hilang pesona cahaya bulan yang dipujanya pada malam tadi. Justeru, keputusan ditukar lagi, bukan bulan yang mengatur segala, karna, dia sendiri hilang pada siang hari 'ditelan' mentari. Jadi, siapa pengatur hidup ini yang melukiskan gunung-ganang hijau diselaputi kabus putih itu? Siapa pencipta aturan terbit tenggelamnya mentari dan bulan? Gagal semua untuk menjawab.
Manusia kembali melihat diri sendiri, selepas gagal mencerna kehidupan ini pada mentari dan bulan. Kehidupan? Ya, inilah kunci segala. Dari mana datangnya kehidupan? Manusia adalah kehidupan, lantas menjawab persoalan dari mana datangnya manusia bererti menjawab persoalan dari mana datangnya kehidupan.
Manusia datang dari persetubuhan sang lelaki dan wanita dan lahir dari kemaluan wanita. Nah, mungkin ini permulaan segala dan inilah kunci kepada persoalan besar, iaitu soal pencipta. Lantas, manusia kembali pula mengagung dan menyembah kemaluan. Justeru, ditutupnya kemaluan dengan daun-daun hijau walau badan dan anggota lain terbiar tanpa ditutup. Karna, kemaluan adalah hal yang suci, kemaluan adalah pencipta kepada manusia dan pencipta kepada kehidupan ini. Justeru, membuka dan mendedahkan kemaluan di depan manusia ramai adalah sesuatu yang mengaibkan dan satu perbuatan menghina.
Tapi, timbul lagi hal yang lain, iaitu kematian. Wanita yang melahirkan manusia (kehidupan) itu telah mati dan wanita yang lain juga bakal mati, kemaluan mereka bakal tidak berfungsi setelah mati. Jadi, bukan juga kemaluan –yang dipuja dan diagungkan- tadi yang mencipta kehidupan ini. Lantas apa dan siapa?
Manusia bergerak lagi, selepas gagal melihat ke langit –mentari dan bulan- dan gagal juga melihat pada diri sendiri –kemaluan pencetus kehidupan-, mereka melihat keadaan sekeliling. Manusia perlu melihat pada sekeliling bagi mencari pengatur bagi aturan mentari dan bulan, mencari pencipta kemaluan –kehidupan-, mencari pencetus kematian, mencari pelukis gunung ganang yang tegak tersusun di depan mata, mencari sang pencurah yang mencurahkan hujan dikala panas membahang.
Perasaan ingin mencari sang pengatur, pencipta, dan pelukis ini perlu disegerakan. Karna ini melibatkan perasaan. Apabila manusia melihat mentari dan bulan, timbul perasaan indah dan pesona. Melihat kehidupan, timbul perasaan gembira dan melihat kematian, mereka berasa takut dan sedih, mereka kehilangan sesuatu. Kemudian, manusia kembali menyembah apa sahaja yang ada di depannya semisal pokok-pokok besar, batu-batu yang membentuk sesuatu gambaran yang menyeramkan dan dipujanya juga gunung-ganang yang fikirnya boleh menenangkan kehidupan mereka.
Setiap perkara yang dilihat didepan mata dikatakan ada semangat (roh) di dalamnya, justeru, tidak boleh dibuat sesuka hati karna bimbang nanti semangat (roh) itu akan mengacau kehidupan manusia. Hutan belantara tidak boleh ditebang sesuka hati, anak-anak kecil tidak boleh dibiarkan berjalan kesana kemari dan hal-hal yang lain lagi seumpamanya.
Semua ini berlaku karna sememangnya manusia itu dapat merasai bahawa hidup ini memang ada sesuatu yang ghaib yang berkuasa mengatur hidup mereka, tapi hanya sahaja mereka gagal menyelidikinya. Mereka hanya memujuk jiwa memuja pokok-pokok sebagai perantara antara dirinya, dan sang ghaib yang mengatur dan mencipta.
Setiap perkara yang dilihat didepan mata dikatakan ada semangat (roh) di dalamnya, justeru, tidak boleh dibuat sesuka hati karna bimbang nanti semangat (roh) itu akan mengacau kehidupan manusia. Hutan belantara tidak boleh ditebang sesuka hati, anak-anak kecil tidak boleh dibiarkan berjalan kesana kemari dan hal-hal yang lain lagi seumpamanya.
Semua ini berlaku karna sememangnya manusia itu dapat merasai bahawa hidup ini memang ada sesuatu yang ghaib yang berkuasa mengatur hidup mereka, tapi hanya sahaja mereka gagal menyelidikinya. Mereka hanya memujuk jiwa memuja pokok-pokok sebagai perantara antara dirinya, dan sang ghaib yang mengatur dan mencipta.
-Khairul Shaffei-
*Penulis adalah penulis jemputan di blog Espresso ini. Maka, segala buah fikir dan lontaran idea pada setiap kata di dalam makalah ini tidak sama sekali mewakili karakter semua penulis-penulis tetap yang lain. Penulis boleh dilawati di laman facebook ‘Abu Haziq Khairul Shaffei’.
No comments:
Post a Comment