Buya
HAMKA : Sisi
peribadi tokoh reformis nusantara
Nama
dan sosok buya HAMKA, atau Haji Abdul Malik Bin Karim Amrullah ini tidaklah
asing di bibir dan telinga rakyat Malaysia dan di nusantara. Bahkan di bibir mereka yang
bisu dan telinga yang pekak juga turut mengenali batang tubuh tokoh ini. Di kalangan mereka yang
mengenali sosok ini, ada tiga kategori utama yang mungkin saya boleh
senaraikan. Pertama, mengenali peribadinya secara dekat, kedua, mereka yang hidup
sezaman dan pernah berinteraksi bersama beliau dan ketiga, generasi selepas
ketiadaan beliau yang hanya membaca buku-buku tentang beliau melalui
perawi-perawi yang sahih semisal anaknya dan menyoroti karya-karya tinggalan
beliau.
Adapun
saya termasuklah dalam kategori ketiga, iaitu yang hanya mengenal sosok ini
melalui tulisan-tulisan beliau dan tulisan-tulisan mengenai beliau. Maka tidaklah patut saya
ini sok
tahu segala tentang diri tokoh ini melainkan hanya membuat analisa sendiri melalui
bahan bacaan.
Anak
kedua beliau,H. Rusydi HAMKA ada menulis tentang ayahnya, iaitu HAMKA dalam
bukunya, “Hamka Pujangga Islam kebanggaan rumpun Melayu, menatap peribadi dan
martabatnya”. Di dalam tulisan ini, anaknya menyurahkan kepada kita satu surah
berkenaan perjalanan hidup bapanya yang kadang kala indah dan kadang kala
pincang. Pelbagai
peristiwa di sorotkan kepada pembaca tentang keperibadian buya HAMKA sepanjang
hidupnya buat pedoman dan iktibar kepada mereka yang mahu mengenali HAMKA
khasnya generasi kategori ketiga.
Pembacaan
dan bahan-bahan bacaan HAMKA.
Apabila
membaca karya-karya HAMKA, kita dapati sosok ini bukan kepalang pengetahuannya
terhadap apa yang ditulis. HAMKA bukanlah seorang yang “main sebat” dalam
setiap perkataannya terutama apabila menjawab hujah atau berdebat. Misalnya, di dalam suratnya
kepada mufti Johor apabila berlakunya konflik kaum muda dan kaum tua di
nusantara pada ketika itu, HAMKA banyak menggunakan figur atau angka di dalam
hujahnya. Iaitu merujuk kepada statistik kajian terhadap sesuatu isu. Di dalam disiplin subjek
ekonomi, kita namakan hal ini sebagai “positive statement” iaitu satu statement
yang boleh dibuktikan kesahihan dan ketepatannya. HAMKA tidak menggunakan
“normative statement” yang diawang-awangan dan tidak boleh dibuktikan betul
atau salah dalam kerangka pembentangan statistik kajian.
Di dalam surat itu, HAMKA banyak menggunakan angka-angka bagi melawan
hujah tok mufti Johor. Angka komposisi penduduk mengikut agama di Indonesia,
angka bagi tarikh-tarikh dan tahun dan pelbagai lagi yang menunjuknya luasnya
pembacaan HAMKA.
“Di Mentawi sebelum merdeka daripada 18000 penduduk, 6000 (enam ribu)
telah masuk Nasrani kerana usaha paderi-paderi itu berpuluh yang Islam baru
2000 orang. Tetapi setelah merdeka ini bilangan Kristian tidak bertambah dari
6000 sedang yang Islam sudah lebih dari 4000 orang”
(Prof. Dr. HAMKA, Teguran suci dan
jujur terhadap Mufti Johor, m/s 31, Terbitan Pustaka Dini)
Demikian salah satu contoh “positive statement” yang digunakan oleh
HAMKA ketika berhujah. Dan format statement sebegini sangat banyak boleh kita
temui dalam surat tersebut.
Apabila kita merujuk di dalam surah yang dituliskan oleh anaknya,
H.Rusydi HAMKA, beliau ada menceritakan tentang bahan-bahan bacaan HAMKA,
katanya,
“Ayah membaca
Albert Camus, Jean Paul Sarte, William James, Freud, Toynbee sampai Karl Max,
semuanya dalam bahasa Arab”
(H. Rusydi
HAMKA, Hamka pujangga Islam kebanggaan rumpun Melayu, menatap peribadi dan
martabatnya, m/s 114, terbitan Pustaka Dini)
Lihatlah betapa luasnya bacaan HAMKA merentasi benua eropah sana.
Beliau tidak sahaja larut dengan karya-karya Ibn Qayyim Al-Jauziyyah dan
Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah, bahkan rentas daripada itu lagi. Nama-nama penulis yang
dibaca itu pun mungkin ada dikalangan anak muda kita tidak mengenalinya bahkan
ada yang tergeliat lidah untuk menyebut nama-nama itu.
Tafsir
Al-Azhar – karya dibalik jerigi besi
Jerigi besi atau penjara menurut saya adalah salah satu tempat yang
ajaib dalam kerangka penghasilan karya-karya agung sepanjang zaman. Jika kita menyoroti sosok
Antonio Gramsci di Italy dan Syed Qutb di Mesir, kedua-dua tokoh ini
menghasilkan karya agung mereka di penjara. Iaitu Prison Notebooks dan
Tafsir Fi Zilal Al-Quran. Hal ini mungkin kerana, selain mereka berkesempatan
memelihara cicak dan menternak lipas di dalam penjara, mereka punyai kesempatan
waktu untuk mengarang bagi mengisi masa yang kosong di penjara. HAMKA tidak ketinggalan
dalam menuruti tradisi hebat ini apabila beliau menghasilkan karya tafsir
beliau di balik jerigi besi.
Secara jujurnya, saya secara peribadi belum khatam atau tamat membaca
kitab Tafsir Al-Azhar ini daripada kulit ke kulit (sepenuhnya). Maka sekali lagi, saya
wajib memberitahu kepada pembaca bahawa saya tidak boleh bertindak seperti sok tahu segala tentang karya besar ini
melainkan saya hanya membaca dan menganalisa daripada bacaan-bacaan yang
berbentuk ulasan daripada mereka yang mengkaji kitab tersebut. Untuk memberi
gambaran secara ringkas tentang tafsir ini, saya secara peribadi membaca
beberapa bahagian pada tafsir HAMKA ini dan selebihnya, saya banyak merujuki
ulasan daripada H. Rusydi HAMKA dan satu kertas kerja yang bertajuk “Tafsir
Al-Azhar : Suatu gambaran perubahan sosial di Indonesia pada abad ke-20”
tulisan Dr. Wan Sabri bin Wan Yusof serta sebuah tesis ijazah doktor falsafah
usuluddin daripada Abdul Rouf yang bertajuk “Dimensi tasawuf karya HAMKA :
analisis terhadap Tafsir Al-Azhar”
Sebenarnya, menurut riwayat yang dikisahkan kepada kita daripada
H.Rusydi HAMKA di dalam bukunya tentang HAMKA, pengajian tafsir secara verbal
telah dimulai oleh HAMKA di masjid yang terletak berdekatan dengan rumahnya,
iaitu Masjid Al-Azhar. Iaitu menerusi slot kuliah subuh dari tahun 1959-1964.
Kemudian kuliah subuh ini dimuatnaik dalam bentuk tulisan dalam Majalah Gema
Islam, iaitu sebuah majalah yang diusahakan oleh HAMKA menggantikan Majalah
Panji Masyarakat yang telah dibreidel (diharamkan) oleh rejim Sukarno.
HAMKA ditahan pada tanggal 27 Januari 1964 dan dimasukkan kedalam
penjara. Atas
tuduhan jahat komplot ingin membunuh Presiden Sukarno dan komplot ini dikatakan
didanai oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman. Keadaan ini memberikan
ruang kepada HAMKA untuk dimanfaat dengan menumpukan sepenuh perhatiannya untuk
menulis dan menghabiskan tafsir ini di dalam penjara. Demikian latar belakang
pensejarahan tentang penulisan tafsir ini buat pembaca budiman yang tidak
mengetahui hal ini.
Bagi adik-adik tahfiz dan abang-abang naqib serta tidak lupa juga
kepada akak naqibah diluar sana yang meminati bidang tafsir Al-Quran buat
dijadikan modal bahan usrah, Tafsir Al-Azhar atau Tafsir HAMKA ini antara
tafsir Melayu yang dicadangkan untuk dijadikan rujukan utama. HAMKA menulis tafsir
ini dengan bahasa Melayu-Indonesia yang mudah difahami oleh seluruh masyarakat
tidak kira apa status sosial atau latar belakang pendidikan. Walaupun
menggunakan bahasa yang mudah, ia sama sekali tidak merendahkan tahap
intelektual kitab ini dari segi perbahasan dan huraian. Tujuan utama penulisan
tafsir ini adalah untuk memberi faham kepada masyarakat atau menjadi jambatan
kepada masyarakat dalam memahami setiap arahan dan pengajaran dalam Al-Quran
itu. Sebagai
pendakwah dan aktivis yang berada aktif dilapangan, HAMKA merasai sendiri dan
memahami bahawa tahap penguasaan bahasa Arab oleh penduduk Indonesia khususnya
amat rendah maka ini menjadi halangan kepada mereka untuk memahami Al-Quran. Lalu disiapkan tafsir ini
dalam bahasa ibunda yang gampang agar dapat difahami oleh semua.
Tafsir ini bukan sahaja senang difahami dari sudut kerangka bahasa,
bahkan HAMKA sebagai seorang ulama besar Nusantara itu tahu membedakan yang
mana satu sumber agama dan yang mana satu khayalan manusia. Tafsir ini telah
ditapis dan diasingkan daripada kotoran-kotoran riwayat-riwayat dogengan
Israilliyat ciptaan Yahudi, hadis-hadis palsu dan rekaan-rekaan palsu yang
lain. Konteks tapisan dan asingan ini dalam erti kata diterangkan tentang
sesuatu riwayat itu sahih atau tidak disisi sumber agama. Makanya, pembaca yang
tidak menguasai ilmu hadis, dari segi riwayah dan dirayah tidak perlu bimbang
kerana segalanya telah ditapis sempurna oleh HAMKA.
Bersambung……
-Khairul Shaffei-
*Penulis adalah penulis jemputan di blog Espresso ini. Maka, segala
buah fikir dan lontaran idea pada setiap kata di dalam makalah ini tidak sama
sekali mewakili karakter semua penulis-penulis tetap yang lain.Penulis boleh dilawati di laman facebook ‘Khairul Shaffei’.